Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini mendakwa bahawa kenyataan oleh pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik berhubung masyarakat Cina dan penganut agama Hindu di negara ini telah diambil di luar konteksnya.
Annuar, melalui tweeternya @AnnuarMusa, mengulas ciapan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengkritik pendakwah dari India itu.
“Jangan putar belitkan kenyataan penuh dan kontek ucapan Zakir Naik. Saya ikuti teks penuh ucapan 8hb yg http://panjang.
"Saya juga hadir di stadium (pada) 9hb...usah memfitnah,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.
Semalam, Syed Saddiq dalam mesej dalam kumpulan Whatsapp media menulis bahawa “serangan ke atas saudara Cina dan India kami adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia."
Menteri Belia dan Sukan juga menyokong gesaan agar Zakir diusir pulang.
Zakir membuat kenyataan kontroversi semasa satu syarahan anjuran kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS pada 8 Ogos di Kota Bahru ketika bercakap mengenai penyebaran Islam secara aman di nusantara.
“… Malaysia menjadi Muslim sepenuhnya. Kemudian Cina datang, India datang, orang Inggeris (British) datang. Mereka adalah tetamu baru kita.
“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.
“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.
“Jika kamu mahu tetamu itu pulang, dan tetamu lain yang membawa keamanan dalam sesuatu komuniti tersebut, mereka (tetamu itu) membawa manfaat kepada keluarga itu,” katanya sebelum kembali ke topik tentang Islam “disebarkan dengan mata pedang.”
Beliau juga dilaporkan berkata bahawa penganut agama Hindu di Malaysia lebih mempercayai kerajaan India daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Zakir mengeluarkan satu kenyataan semalam yang mendakwa bahawa ucapan beliau mengenai penganut agama Hindu di Malaysia dipetik di luar konteks.
Zakir masih belum mengulas kenyataannya mengenai masyarakat Cina di Malaysia yang dilabel sebagai “tetamu lama” itu.
Beliau kini sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram dan dikehendaki oleh kerajaan India.
Dr Mahathir, bagaimanapun membantah permohonan ektradisi New Delhi dan menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India sehinggalah pendakwah itu dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.