Selepas mengundang kecaman pelbagai pihak, pengasas Gamuda Bhd Koon Yew Yin meminta maaf atas kenyataannya yang antara lain menyifatkan anggota tentera negara ini hanya "makan dan tidur".
Koon berkata kecaman yang diterimanya mungkin disebabkan caranya mengeluarkan kenyataan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak.
"Saya meminta maaf jika saya menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.
"Sepatutnya saya berkata pasukan tentera diperlukan ketika perang untuk mempertahankan negara. Ketika keadaan negara aman, mereka sepatutnya melakukan kerja lain untuk meningkatkan ekonomi negara kita
"Namun ada pihak yang tidak suka dengan cara saya memperkatakan tentang anggota tentera," katanya lagi.
Semalam, Koon dalam blognya antara lain berkata ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak, dan mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang Felda.
Kenyataan itu disampaikan menerusi satu tulisan bertajuk "Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita".
Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang menyifatkan kenyataan itu menghina menghina pasukan angkatan tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong menyifatkan kenyataan Koon sebagai satu salah faham terhadap angkatan tentera dan perlu diperbetulkan.
Pada masa aman, kata Liew, tentera berperanan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi antarabangsa.
"Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara. Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’; jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan. Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir," katanya semalam.