Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik memberikan kenyataan pedas terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.
Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu, di mana beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan perdana menteri India berbanding Malaysia.
Zakir membuat kenyataan mengenai kaum Cina di Malaysia itu apabila bercerita tentang bagaimana agama Islam tersebar dengan aman di sekitar daerahnya melalui pedagang.
“… Malaysia menjadi Muslim sepenuhnya. Kemudian Cina datang, India datang, orang Inggeris (British) datang. Mereka adalah tetamu baru kita.
“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.
“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.
“Jika kamu mahu tetamu itu pulang, dan tetamu lain yang membawa keamanan dalam sesuatu komuniti tersebut, mereka (tetamu itu) membawa manfaat kepada keluarga itu,” katanya sebelum kembali ke topik tentang Islam “disebarkan dengan mata pedang.”
Zakir - kini memiliki status penduduk tetap Malaysia - sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram dan dikehendaki oleh kerajaan India.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun membantah permohonan ektradisi New Delhi dan menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India sehinggalah pendakwah itu dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.
Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.
Sebelum ini dilaporkan pada Mei 2017 bahawa Arab Saudi memberikan kerakyatan kepadanya.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pula sebelum ini menyambut baik jika pendakwah tersebut meninggalkan Malaysia secara sukarela.