Mayat wanita berkulit cerah yang ditemui tengah hari Selasa adalah Nora Anne Quoirin, 15, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort di Nilai, 4 Ogos lepas.
Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop
Beliau berkata proses bedah siasat mayat itu akan dijalankan 10 pagi esok di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar.
“Bedah siasat mayat Nora Anne akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Kuala Lumpur,“ katanya pada sidang akhbar di HTJ malam ini.
Mohamad berkata polis akan memohon Senior Patologi dari Kuala Lumpur untuk hadir ke hospital itu bagi proses bedah siasat.
“Bedah siasat akan dijalankan esok pagi dan kami akan lihat keputusan dan hasil bedah siasat,” katanya.
Mayat Nora Anne tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada pukul 7.07 malam selepas dibawa dengan helikopter yang mendarat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban pada kira-kira 6.45 petang.
Mayat kemudian dibawa dengan van Angkatan Pertahanan Awam serta diiringi sebuah kereta peronda polis dan dua anggota polis trafik yang menaiki dua motosikal.
Ahli keluarga Nora Anne tiba di Jabatan Forensik HTJ dalam keadaan tergesa-gesa bagi mengelak gambar mereka dirakam media pada pukul 8. 40 malam.
Turut kelihatan di Jabatan Forensik HTJ Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon.
Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.
Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.
- Bernama