Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua AMK Wilayah saran gubal Akta Antidiskriminasi Kaum
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 9:37 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Akta Antidiskriminasi Kaum perlu digubal bagi menangani isu diskriminasi kaum, kata Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, Na'im Brundage.

Menurutnya, perpaduan kaum adalah faktor penting untuk negara ini mencapai status negara maju dan ia tidak akan menjadi kenyataan jika diskriminasi kaum tidak ditangani dengan sebaiknya.

"Akta antidiskriminasi telah dilaksanakan di pelbagai negara maju seperti di Australia, Kanada,  Perancis, Jerman, Hong Kong, Netherlands, New Zealand, Poland, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan ia wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negara ini asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Akta Antidiskriminasi Kaum ini sememangnya tidak akan mampu untuk membanteras kesemua gejala diskriminasi kaum di Malaysia seperti yang telah diungkapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) namun ia adalah salah satu langkah kehadapan yang boleh dilaksanakan segera untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan kaum di negara ini terus terpelihara," katanya dalam kenyataan.

Selepas mengambil alih kerajaan pusat, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan untuk menyemak semula Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan pentadbiran BN sebelum itu.

Rang Undang-Undang (RUU) itu merupakan salah satu daripada tiga RUU yang didraf oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (NUCC), selain RUU Kebencian Kaum dan Agama dan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof sebelum ini berkata kerajaan akan membentangkan Akta Antidiskriminasi, Akta Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, serta Akta Kebencian Kaum dan Agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS