Bantuan Indonesia diharapkan dapat menjalin kerjasama untuk menjalankan pembenihan zuriat buat badak sumbu betina terakhir Malaysia.
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal memaklumkan timbalannya Christina Liew telah ke Jakarta untuk berbincang mengenai konservasi badak sumbu Sumatera dengan Ketua Pengarah Sumber Asli dan Konservasi Ekosistem Indonesia, Wiratno.
Bernama memetik Shafie berkata langkah itu bagi menjalin kerjasama untuk menjalankan pembenihan zuriat ke atas seekor badak sumbu Sumatera betina di Malaysia bernama Iman, yang ditempatkan di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
"Badak sumbu satu-satunya di Malaysia ini tidak akan berupaya untuk melahirkan generasinya kerana tidak ada teman dan disebabkan itulah saya meminta Christina untuk ke Jakarta agar satu usaha dapat dilakukan bersama Indonesia.
"Alhamdulillah, pihak berkuasa Indonesia telah bersetuju dan kita berterima kasih atas kerjasama baik mereka untuk memenuhi hasrat kerajaan negeri melindungi haiwan ini daripada pupus," katanya.
Shafie berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas solat sunat Aidiladha di Semporna hari ini.
Menurutnya lagi, suatu memorandum persefahaman bagi maksud itu dijangka ditandatangani antara kerajaan Indonesia dan Sabah bulan depan.
Pada 27 Mei lalu, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia bernama Kertam atau nama panggilannya Tam dilaporkan mati.
Sebelum ini, pelbagai usaha persenyawaan antara Iman dan Tam tidak berjaya kerana masalah usia Tam.
Dengan kematian Tam, maka Iman kini menjadi badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (Bora) Dr Junaidi Payne dilaporkan berkata Kertam yang berusia lebih 35 tahun mati akibat kerosakan buah pinggang dan hati.
Haiwan yang dijaga oleh pakar di Tabin, Sabah itu hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.
Dr Junaidi berkata, Tam lebih banyak menghabiskan masa berehat di bangsal, berbanding melakukan rutin harian seperti berkubang dalam lumpur.
Kertam (gambar) ditangkap di Ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah pada Ogos 2008.
Dalam pada itu, Shafie pada hari ini juga dipetik Bernama berkata kerajaan negeri Sabah akan mengenal pasti keluasan kawasan di negeri ini untuk dijadikan tempat tinggal dan pembiakan hidupan liar, khususnya haiwan yang diancam kepupusan.
Katanya, langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melindungi dan memastikan kelangsungan kehidupan haiwan berkenaan yang menjadi khazanah negeri ini.
"Saya telah meminta Christina Liew (yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) untuk mengenal pasti beberapa kawasan untuk kita tempatkan haiwan-haiwan ini.
"Ia akan menjadi seperti di Afrika yang ada Taman Negara Serengeti yang mempunyai beribu-ribu ekar tanah untuk menempatkan hidupan liar," katanya.
Mohd Shafie berkata kawasan itu bukan sahaja akan menempatkan hidupan liar, tetapi juga sebagai satu tarikan pelancong untuk melihat usaha baik negeri ke arah memelihara hidupan liar di Sabah.