Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Prof tarik diri bincang isu Jawi lepas diancam NGO
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Seorang profesor yang sepatutnya dijadualkan tampil dalam program isu semasa “Analisis Bersama Finaz Yunus”, terpaksa menarik diri pada saat akhir selepas diberi amaran oleh NGO supaya tidak hadir ke program tersebut.

Prof S Vijayaletchumi, merupakan antara individu dalam jawatankuasa penyelarasan kurikulum Kementerian Pendidikan yang mencadangkan kemasukan kaligrafi khat ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tahun 4.

Pada asalnya, beliau dijadualkan tampil sebagai salah seorang ahli panel di program rancangan yang disiarkan oleh TV AlHijrah iaitu stesen yang dimiliki dan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Program berkenaan disiarkan secara langsung di Astro.

Bagaimanapun, program bual bicara itu mengumumkan di Facebooknya petang tadi bahawa Vijayaletchumi telah membatalkan kehadirannya sebagai salah seorang panel di program tersebut.

Sumber memberitahu Malaysiakini Vijayaletchumi telah menelefon AlHijrah kira-kira jam 2.30 petang hari ini bagi memaklumkan perkara itu.

Menurut sumber, Vijayaletchumi menerima ugutan daripada NGO yang menentang pengenalan pembelajaran Jawi dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan.

"Dia dinasihatkan oleh pejabat Menteri Pendidikan untuk tidak tampil (ke program tersebut),” kata sumber.

Beliau dijadualkan hadir dalam program bual bicara tersebut melalui siaran langsung bersama Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock dan pendakwah bebas Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin.

Hantaran Facebook itu turut menyatakan Vijayaletchumi akan digantikan oleh pakar bahasa Prof Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS