Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolak Jawi bukti masih dipengaruhi penjajah, kata Hadi
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang menolak tulisan Jawi masih dipengaruhi oleh kesan penjajah dalam diri.

Beliau berkata, tulisan Jawi adalah kesan peninggalan tamadun Islam di alam Melayu.

"Tulisan Jawi ini tulisan tamadun Islam di alam Melayu. Ini bukan benda baru dan kena sedar tulisan Jawi ini pengaruh Islam dalam ilmu.

"(Mereka yang menolak tulisan Jawi), masih ada kesan penjajahan dalam diri dia. Kesan penjajahan, pengaruh penjajah masih ada," katanya dalam satu rakaman secara langsung ketika ditemui media di Rusila, Marang hari ini.

Isu tulisan Jawi menjadi polemik hangat apabila kementerian pendidikan mahu memperkenalkan seni tulisan khat dalam subek Bahasa Melayu darjah empat di sekolah Cina dan Tamil.

Cadangan itu mendapat tentangan daripada pemimpin NGO Cina dan DAP pada awalnya, sebelum mereka bersetuju dengan pengenalan silibus berkenaan.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan keputusan kebinet yang menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Maszlee berkata, guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

"Jemaah menteri dalam keputusannya memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks.

“Di samping itu, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khas ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

"Jemaah menteri juga secara sepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, petang ini.

Maszlee berkata pengenalan tulisan khat itu bukan merupakan proses Arabisasi ataupun Islamisasi terhadap murid-murid.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kebangkitan negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan yang menggunakan bahasa masing-masing.

"Kita kena sedar orang Jepun bangkit dengan tulisan Jepun, Cina dengan tulisan Cina dan Korea (Selatan) dengan tulisan Korea (Selatan).

"Apa salahnya (guna bahasa Jawi), yang penting menyebarkan ilmu dengan cara lebih mudah dan yang lebih betul," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS