Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Keluarga Adib hanya mahu AG minta maaf, bukan dipenjara’

Keluarga allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hanya mahu Peguam Negara Tommy Thomas memohon maaf dalam kes inkues bagi menentukan punca kematian bekas anggota bomba itu.

Peguam keluarga Adib, Haniff Khatri Abdulla berkata anggota keluarga si mati tiada niat supaya Thomas dipenjarakan.

Mahkamah koroner di Shah Alam diberitahu perkara itu hari ini.

“Kami juga menjelaskan kepada mahkamah, sangat jelas, permohonan yang dibuat oleh keluarga Adib ini, jika dibenarkan oleh mahkamah sebagai penghinaan, pihak keluarga tak berhasrat untuk meminta suatu perintah supaya AG dipenjarakan.

“Itu bukan niat kami.

“Apa yang penting adalah sekiranya mahkamah mendapati sepertimana kami percaya beliau melakukan penghinaan mahkmaha, kami cuba minta dia minta maaf sebagai seorang yang memegang kerusi peguam negara Malaysia.

“Minta maaf pada mahkamah dan keluarga Adib, dan beri aku janji bahawa perkara seperti itu tak akan berulang,” katanya kepada pemberita.

Haniff Khatri Abdulla 

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 21 Ogos untuk mendengar permohonan ex parte bagi mendapatkan kebenaran merujuk Thomas kepada prosiding komital.

Thomas diwakili peguam kanan persekutuan S Narkunavathy.

Permohonan itu dibuat setelah afidavit peguam negara menyebut Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan.

Terdahulu, Haniff membangkitkan dua isu melalui permohonannya itu.

Pertama, Haniff mempersoalkan sama ada Thomas boleh membantah semasa pendengaran ex parte dan jika beliau dibenarkan berbuat demikian ia sampai ke tahap mana.

Keduanya, peguam itu turut sekiranya afidavit peguam negara boleh digunakan semasa pendengaran.

Rofiah memutuskan bahawa afidavit tidak boleh dirujuk ke mahkamah, dan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan pada hari itu cuma sekadar membantu isu undang-undang.

"Kami perlu yakinkan mahkamah bahawa menampilkan satu kes bahawa mahkamah harus berikan kebenaran untuk teruskan dengan proses penghinaan mahkamah," kata Haniff.

Mengulas mengenai dakwaan penghinaan oleh Thomas, Haniff berkata peguam negara mengeluarkan kenyataan itu berkaitan dengan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk inkues itu, dan kemudian mewakili keluarga Adib.

Dalam kenyataan berkenaan, terdapat sebab-sebab yang diberikan olehnya (AG yang) menyatakan kelakuan Syazlin semasa prosiding bertentangan dengan pendirian peguam negara dan kenyataan (Tommy Thomas) ini bersamaan dengan menghina.

"Dalam prosiding inkues, tiada sesiapa pun yang berhak untuk membuat pendirian sehinggalah inkues itu berakhir.

"Kamu tidak boleh ada pendirian pada satu sisi dan pada sisi yang lain meminta mahkamah membuat keputusan," jelasnya.

Dalam permohonan exparte pada bulan lalu, seorang lagi peguam yang mewakili keluarga allahyarham Adib, Mohd Zubir Embong berkata permohonannya membabitkan afidavit Thomas yang mengatakan bahawa Adib tidak mati akibat kecederaan yang dialami akibat serangan sebagaimana didakwa.

Adib, anggota Jabatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah semasa rusuhan Seafield pada 27 November tahun lepas.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Inkues itu diadakan untuk menentukan punca kematiannya.

Menjelaskan lanjut permohonannya, Haniff mengulangi bahawa permohonan tersebut tidak ada kena mengena dengan keputusan inkues itu.

"Ia tak berkait langsung dengan keputusan inkues kelak.

"Biarlah keputusan itu berjalan mengikut keputusan yang arif koroner inkues," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS