Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adakah ayat Surah Yunus halang anak peluk Islam sepihak?

Merujuk kepada kandungan berita Malaysiakini semalam bertajuk "Apex court ruling would nullify S'gor unilateral conversion bill - lawyers" ('Keputusan Mahkamah Persekutuan akan batalkan enakmen tukar agama'), saya terpanggil di tahap ini untuk memberi penjelasan seperti berikut.

Adakah ayat 99-100 Surah Yunus menghalang pemelukan Islam sepihak?

Seorang peguam mengingatkan kita tentang ayat 99-100 Surah Yunus itu dengan mengatakan bukanlah hak kita menentukan keimanan seseorang dan seorang anak kecil tidak boleh diislamkan berdasarkan ayat-ayat tersebut.

Saya ingin memberi komen di sini bahawa terdapat banyak sumber hukum dalam syariah Islam seperti Al Quran, Al Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Malah pandangan ulama muktabar juga digunakan bagi mentafsir sesuatu hukum. 

Pada masa yang lain Inshaallah saya akan memberi komen mengenai isu Dewan Undangan Negeri Selangor yang tidak bersidang bagi membahaskan RUU Pindaan Enakmen Petadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2019.

Bergantung kepada satu ayat di dalam Al Quran sahaja tidak mencukupi bagi memahami Al Quran itu sendiri.

Ilmu-ilmu Al Quran juga terdapat pelbagai cabang yang dikatakan sehingga mempunyai 15 cabang seperti ilmu filologi, nahu, saraf, isytiqaq, ma'ani, bayaan dan banyak lagi.

Kisah kaum yang tidak beriman

Manakala hadis yang antara lain berfungsi mentafsir Al Quran juga perlu dirujuk bagi memahami Al Quran itu sendiri.

Spesifik kepada ayat 99 dan 100 yang dirujuk di atas saya mengatakan sebelum kita merujuk ayat 99-100 tersebut kita perlu terlebih dahulu membaca ayat-ayat sebelumnya khususnya ayat 98.

Ini adalah kerana kita perlu mentafsirkan sesuatu teks itu di dalam konteksnya sendiri. Malah sebab-sebab sesuatu ayat diturunkan juga perlu diteliti bagi memahami konteks hukum yang dikeluarkan Al Quran.

Ayat 98 Surah Yunus diturunkan bagi menceritakan kisah kaum Nabi Yunus AS yang tidak beriman kepada Allah SWT pada awalnya walaupun diutuskan Nabi Yunus membawa ajaran tauhid.

Allah mengancam mereka dengan azab yang akan menjadikan mereka hina dina, tetapi apabila mereka beriman di saat akhir sebelum ditimpakan azab, Allah hapuskan azab tersebut lalu mereka hidup senang lenang dan bahagia untuk suatu tempoh tertentu.

Jika mereka tidak beriman sudah pasti azab akan ditimpakan ke atas mereka. 

Kesimpulan daripada ayat tersebut ialah memberi galakan kepada pendusta agar mereka kembali berpegang kepada agama Allah dan kehendak menurunkan azab itu masih kekal jika tidak beriman.

Oleh itu ayat seterusnya 99-100 surah Yunus mengemukakan kaedah umum mengenai kekufuran dan keimanan yang bermaksud jika Allah kehendaki tentulah Dia menciptakan sejenis makhluk lain yang mengikut satu jalan sahaja (kebenaran).

Oleh itu keimanan harus ditinggalkan bebas kepada pilihan manusia yang mukallaf, bukan dengan paksaan kerana paksaan di dalam memeluk agama tidak dibenarkan.

Persoalan yang dilontarkan di ayat 99 bertujuan menzahirkan sangkalan sahaja kerana paksaan itu sendiri tidak ujud.

Sementara itu, ayat 100 pula menyatakan seorang tidak sampai kepada keimanan melainkan dengan izin Allah dan sunnatullah bagi orang Islam menyampaikan dakwah kepada keimanan.

Di dalam memberi keizinan beriman ini, Allah mahukan orang Islam berusaha dengan segala upaya melalui kekuasaan atau lisan.

Hadis ada menjelaskan menolak kemungkaran perlu dilakukan dengan tangan, lisan ataupun berdiam sahaja bagi orang yang lemah iman. Maknanya kita perlu berusaha dan berdoa disamping bertawakal, bukan hanya menunggu keizinan dan penentuan Allah sahaja.

Tetapi walaupun telah berusaha sekiranya Allah masih tidak memberi izin, pendakwah hendaklah tidak murung atau dukacita kerana itu semua ditentukan Allah.

Ayat-ayat tersebut adalah untuk orang mukallaf, bukan untuk anak kecil yang dilahirkan secara fitrahnya Islam. Ayat-ayat tersebut tidak terpakai kepada anak kecil yang masih belum baligh.

Oleh yang demikian bergantung kepada hanya ayat 99-100 Surah Yunus bagi melarang pemelukan Islam oleh satu pihak ibu atau bapa sahaja adalah tersasar dari maksud ayat-ayat itu sendiri.

Kedudukan anak bawah umur

Benar hidayah itu milik Allah SWT tetapi kita tidak hanya berserah kepada Allah SWT tanpa sebarang usaha. 

Takdir ditentukan Allah ada yang bersifat tetap (muaiyyan) ada juga bersifat boleh bertukar (muallaq). Ia boleh bertukar dengan usaha dan doa.

Kedudukan anak bawah umur tentang agamanya telah dibahaskan oleh para ulama. 

Dalam menjelaskan status agama anak bawah umur selepas salah seorang pasangan, sama ada ibu atau bapa, memeluk Islam, para fuqaha mempunyai pandangan yang berbeza. 

Jumhur ulama iaitu Mazhab Hanafi, Syafi'e dan Hambali berpandangan bahawa anak-anak adalah mengikut agama Islam.

Pandangan ini berdasarkan hadis Nabi SAW Riwayat al-Bukhari bermaksud: "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya". 

Walau bagaimanapun, Imam Malik mempunyai pandangan yang berbeza iaitu anak-anak akan mengikut agama Islam sekiranya yang memeluk Islam itu ialah bapa.

Sebaliknya, jika yang memeluk Islam itu ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. 

Hujah yang dipegang oleh Imam Malik ialah seorang anak dinasabkan kepada bapa dan bukannya ibu. 

Oleh itu, hanya dengan pengislaman bapa sahaja yang turut membawa kepada pengislaman anak-anaknya dan tidak dengan pengislaman seorang ibu.

Manakala Imam al Thawry berpandangan bahawa apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai tahap umur baligh, dia berhak memilih agamanya sendiri.

Kaedah fiqh telah menetapkan seorang kanak-kanak mengikut ibu bapa yang paling baik dari segi agama. Ini bermakna, seorang anak akan menjadi Islam apabila ibu atau bapanya memeluk Islam kerana Islam ialah agama terbaik dan tidak ada yang lebih baik dan mulia daripadanya.

Oleh itu dengan memetik ayat Al Quran secara berasingan tanpa merujuk kepada sumber nas yang lain akan memberi fahaman yang salah terhadap nas itu sendiri.


ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS