Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Muhammad Shafee Abdullah, peguam bela utama dalam perbicaraan kes rasuah SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, berkata beliau tidak tahu mengenai laporan yang mendakwa ada anggota pasukannya telah meletak jawatan.

"Saya tidak tahu itu," katanya kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini semasa waktu rehat perbicaraan hari ini.

Shafee berkata Najib mungkin mengupah peguam berkenaan secara berasingan dan tidak semestinya bermakna mereka akan terlibat secara langsung dalam perbicaraan.

"Mereka mungkin diambil untuk melakukan perkara-perkara tertentu yang perlu mereka lakukan. Saya pasti mereka sedang melakukan sesuatu, tidak semestinya (mereka) datang ke mahkamah," katanya.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa bekas peguam cara negara, Mohd Yusof Zainal Abiden dan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, serta peguam-peguam yang membantu mereka, tidak lagi mewakili pasukan pembelaan.

Mohd Yusof dan Kamarul tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Najib, 66, sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS