Kabinet menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.
"Jemaah menteri dalam keputusannya memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks.
“Di samping itu, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khas ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.
"Jemaah menteri juga secara sepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, petang ini.
Maszlee berkata pengenalan tulisan khat itu bukan tujuan untuk Arabisasi ataupun Islamisasi murid-murid.
Sebaliknya untuk ia bertujuan untuk memperkenalkan kepada murid-murid budaya dan warisan Bahasa Melayu.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada 25 Jul lalu menjelaskan pengenalan seni khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah dan tidak berkaitan dengan tulisan Jawi, malah pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.
Pada 3 Ogos Maszlee berkata langkah itu bukanlah bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular, dan tidak tidak sepatutnya dilihat sebagai proses asimilasi budaya.
Langkah kerajaan itu mendapat kritikan beberapa pihak yang menyatakan kebimbangan ia akan membebankan murid.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga menegaskan pengenalan seni tulisan khat akan diteruskan meskipun pada awalnya turut dibantah DAP.
Maszlee berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri itu, isu pengenalan tulisan khat ini tidak lagi dibangkitan secara tidak tepat.
Sementara itu, Maszlee berkata beliau juga turut mengadakan pertemuan dengan exco pendidikan bagi setiap kerajaan negeri dan membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada kemerosotan penguasaan Matematik dan Sains di sekolah rendah.
Maszlee juga turut memaklumkan yang kemerosotan pencapaian subjek Matematik bagi UPSR begitu ketara sejak tahun 2015.
"Secara dasarnya setuju galakan kerajaan negeri anjur kelas tambahan bagi sekolah rendah untuk subjek Matematik dan Sains.
"Exco pendidikan (kerajaan negeri) bersetuju dan akan bawa masuk dalam bajet kerajaan negeri masing-masing," katanya.