Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kucing British shorthair ditahan di KLIA
Diterbitkan:  Aug 8, 2019 1:26 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan seekor kucing baka British Shorthair yang diimport dengan mengemukakan permit import mengelirukan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, pada 1 Ogos lepas.

Ketua Pintu Masuk Maqis KLIA Kargo Mohamad Maelah dalam kenyataan hari ini berkata, penahanan itu dibuat susulan pemeriksaan ke atas 12 ekor kucing yang diimport dari Rusia.

"Didapati satu daripada permit import yang dikemukakan adalah mengelirukan dan pihak Maqis telah mengambil tindakan dengan menahan kucing tersebut untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohamad berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 iaitu mengemukakan permit palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

Katanya jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Mohamad berkata dalam satu kejadian berasingan pada 29 Julai lepas, Maqis turut menahan tiga anak pokok bonsai yang diimport dari Tanzania, Afrika tanpa permit import sah daripada Maqis.

Katanya perbuatan mengimport anak pokok bonsai tanpa permit import sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya Maqis sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan haiwan peliharaan atau tumbuhan yang dibawa masuk ke negara kita mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS