Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-50: Peguam Najib mungkin panggil bekas menteri berhubung mesej 'ugutan'

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-50 hari ini.

Malaysiakini membawa laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Peguam mungkin panggil bekas menteri kabinet beri keterangan

4.30 petang - Peguam mungkin memanggil bekas menteri kabinet untuk memberi keterangan berhubung kiriman mesej pada 2016 yang dikatakan mengancam untuk mendedahkan bekas perdana menteri Najib Razak, kata peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Mesej itu didakwa dihantar oleh bekas Menteri Kewangan Ahmad Husni Hanadzlah.

"Sekiranya perlu, kami akan panggil saksi, tetapi saya cukup gembira dia (Husni) kata dia tidak boleh ingat.

"Jika dia tak lakukannya, bagaimana dia kata dia tidak ingat. Ini serius, bagaimana kamu tidak boleh ingat," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan terhadap Husni Shafee bertanya Husni sama ada jika dia ingat ada menghantar ancaman untuk 'membongkarkan' Najib.

Mesej itu menunjukkan pengirim berkata dia hanya baru 'membuka mulut sebanyak satu peratus' dan akan melakukan lebih banyak lagi.

Berikutan itu Husni berkata beliau tidak ingat.


Keterangan Husni harus dilihat dari konteksnya menentang Najib, kata peguam

4.20 petang - Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu media bahawa keterangan saksi pendakwa Ahmad Husni Hanadzlah harus dilihat dari konteks motivasinya untuk melibatkan bekas perdana menteri.

Semasa sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Shafee berkata ia dibuktikan bahawa Husni kecewa dengan Najib berhubung keputusan memindahkannya keluar dari Kementerian Kewangan, yang menyebabkan Husni meletak jawatan dari kabinet pada 2016 .

Peguam itu berkata Husni juga berpendapat bahawa Najib berada di belakang laporan gangguan seksual yang dikemukakan oleh kakitangan wanita Husni dan kebocoran minit mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi kepada blogger Raja Petra Kamaruddin, yang menunjukkan anak lelaki Husni Khalid hadir dalam pertemuan itu.

"Bila seorang saksi memberi keterangan, kita harus tahu sama ada ia boleh dipercayai. Seorang saksi yang bebas sangat boleh dipercayai kerana tiada kepentingan.

"Tetapi jika kamu mempunyai motif untuk membahayakan Najib, dan kami telah menunjukkan tiga motif ini, hakim mesti melihat keterangannya dari konteks ini," kata Shafee.

Hakim benarkan penangguhan awal hari ini

3.50 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan penangguhan awal prosiding petang ini, selepas keterangan diberikan bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.

Hakim membenarkan perkara itu apabila DPP V Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa mereka perlu bersiap sedia untuk saksi pendakwaan terakhir, seorang pegawai penyiasat SPRM.

Sithambaram berkata pihak pendakwaan dan pembelaan perlu berhujah mengenai dokumentasi untuk menyoal saksi ke-57 itu esok.

Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan penangguhan awal.

"Berikutan usaha oleh kedua-dua pihak untuk mempercepatkan proses, mahkamah membenarkan perbicaraan ditangguhkan ke esok pada jam 10 pagi," kata Nazlan.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan akan disambung semula esok.


Husni: Saya letak jawatan sebab Arul Kanda tak ikut pelan rasionalisasi 1MDB

3.15 petang: Ahmad Husni Hanadzlah berkata antara sebab dia meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan kedua pada 2016 adalah kerana CEO 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy tidak mengikut pelan rasionalisasi syarikat itu.

Menurutnya, antara pelan itu ialah untuk menjual sejumlah aset 1MDB dan pada masa sama tetap mengekalkan pegangan di dalamnya. Ia termasuk Bandar Malaysia, TRX dan Edra.

Husni berkata, Najib yang mengarahkannya untuk mencari penyelesaian terhadap hutang 1MDB pada mulanya mengucapak terima kasih kepadanya atas pelan tersebut, tetapi kemudian menyerahkan pelaksanaannya kepada Arul Kanda.

"Dia (Najib) peluk saya, dan kata saya buat kerja baik. Kemudian saya bentang di kabinet, dan kabinet setuju.

"Jadi mengapa (saya) berhenti, kan? Pelan itu oleh saya, tetapi pelaksanaannya bukan saya.

"Ia dilaksanakan oleh Arul dan diluluskan oleh perdana menteri," katanya.


Husni: Saya tak pernah marah pada Najib

2.45 petang: Walaupun Najib Razak didakwa menjadi dalang terhadap serangan ke atasnya, bekas menteri kewangan Ahmad Husni Hanadzlah berkata dia tidak pernah marah kepada bekas perdana menteri itu.

Malah dia berkata sehingga hari ini berdoa kepada Allah agar membuka pintu hati Najib untuk melihat kebenaran.

Shafee: Anda marah (upset) pada Najib?

Husni: Tidak pernah, itu sangkaan. Hidup saya untuk Umno...(Saya) tak pernah marah pada Najib.

Saya berdoa sehingga hari ini, ya Allah bukakanlah pintu kepada Datuk Najib pada kebenaran.

Saya tak pernah (marah) pada Datuk Najib. Bagi saya dia ialah manusia (biasa).

'Najib atur serangan peribadi pada saya, kemudian hentikannya'


'Najib atur serangan terhadap saya, kemudian hentikannya'

2.35 petang: Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah berkata Najib Razak mengaturkan serangan peribadi terhadapnya pada akhir 2016.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, dia berkata selepas ucapannya berkenaan 1MDB di Dewan Rakyat pada Oktober 2016, serangan terhadapnya bermula dengan blogger Raja Petra Kamarudin didakwa membocorkan minit mesyuarat majlis ekonomi.

Menurutnya, serangan pertama terhadapnya datang daripada Tun Faisal Ismail, ketika itu CEO dan Pengerusi Lebuhraya Pantai Baru (NPE) - pemegang konsesi lebuh raya itu.

Katanya lagi, minit mesyuarat yang dihadiri anaknya, Khalid Ahmad Husni, dibocorkan di Facebook beserta dakwaan dia marah dengan Najib kerana anaknya itu tidak mendapat satu projek.

"Minit itu diperolehi Raja Petra beberapa jam selepas mesyuarat, tiada siapa yang patut keluarkan (minit) pada masa itu.

"Selepas ia disiarkan dalam Utusan Malaysia, yang dimiliki Umno, saya sangat tahu yang Umno kawal semuanya.

"Dalam laporan itu, disebut tentang seorang bekas menteri - merujuk kepada saya - yang terlibat dalam skandal," katanya.

Husni berkata serangan terhadapnya tiba-tiba berhenti pada tahun sama, selepas dia menghantar pesanan teks kepada Najib berkenaannya.

"Pada Oktober atau November (2016), saya hantar mesej kepada Najib dan tanya, 'Apa ini?'. Najib kemudian balas, 'Bincang dengan Nazri Aziz'.

"Saya balas bahawa saya tak boleh bincang dengan Nazri sebab dia di luar negara. Keesokannya, tiada lagi serangan," katnaya lagi.


3.08 petang: Sesi pemeriksaan balas Ahmad Husni Hanadzlah dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah selesai

Kini bermula pemeriksaan semula dengan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.


2.25 petang: Perbicaraan diteruskan dengan pemeriksaan balas saksi ke-56 pendakwaan, Ahmad Husni Hanadzlah.


Mahkamah rehat tengah hari

12.40 tengah hari: Perbicaraan dihentikan untuk rehat tengah hari dan akan bersambung pada pukul 2.15 petang.


'Saya masih ambil tahu pelaburan SRC sebab risau'

12.25 tengah hari: Walaupun dikatakan telah diberitahu oleh Najib Razak agar tidak terbabti dengan soal 1MDB dan subsidiarinya, bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah berkata beliau tetap mengikuti pelaburan SRC International di luar negara.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, saksi ke-56 pendakwaan itu berkata dia berbuat demikian kerana risau dengan perkara itu.

Shafee merujuk perenggan ketujuh dalam keterangan saksi bertulis Husni, di mana dia berkata telah mengarahkan Setiausaha Jabatan Pelaburan Dr Isa Hussain untuk pergi ke Jawa, Indonesia, untuk memeriksa pelaburan SRC International di sana.

Di perenggan enam pula, Husni berkata dia diberitahu oleh seorang pegawai Kementerian Kewangan bahawa sebahagian daripada pinjaman RM4 bilion kepada SRC International antara lain dilaburkan di lombong batu arang di Jawa.

Shafee: Anda masih melibatkan diri, meminta seorang pegawai untuk pergi dan periksa pelaburan SRC International di pelbagai tempat (seperti Jawa)?

Husni: Ya. Saya risau.

Selasa lalu, Husni berkata pada akhir 2009, Najib memberitahunya agar tidak terlibat dalam soal berkenaan 1MDB dan subsidiarinya.

Menurutnya, di diberitahu tentang itu selepas membangkitkan kebimbangan berkenaan usaha sama 1MDB denga Petro Saudi.


Saya tahu tak boleh buat apa-apa - Husni

11.10am: Bekas menteri kewangan kedua Husni Hanadzlah berkata beliau tidak membantah permohonan kedua SRC International untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion berkaitan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) pada 2012.

Katanya tiada guna berbuat demikian.

“Saya tahu saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya ketika menjawab soalan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Menambah keteranngannya, Husni berkata, beliau bagaimanapun memeriksa sama ada pinjaman itu digunakan oleh syarikat serta menyemak sama ada pelaburan luar negara benar-benar wujud.

Semalam, Husni dalam sesi soal jawab oleh pihak pendakwaan berkata beliau mencadangkang Najib menghantar wakil ke Switzerland untuk menyemak sama ada wang SRC yang didepositkan di sana tidak diluluskan.


‘Bantahan pada pinjaman pertama SRC dinyatakan terus pada Najib’

10.50am: Husni Hanadzlah berkata beliau telah menyatakan bantahannya terhadap tindakan kerajaan menjamin pinjaman SRC International sebanyak RM2 bilion pada 2011, ketika era pentadbiran Najib Razak.

Husni, yang ketika itu menteri kewangan kedua, berkata membangkitkan perkara itu kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri dan bukan dalam mesyuarat kabinet.

Katanya tindakan itu dibuat kerana Najib berkuasa menarik balik kertas kabinet berkaitan jaminan itu.

Husni berkata demikian ketika sesi soal balas oleh peguam utama Najib Muhammad Shafee Abdullah yang mahu tahu kenapa beliau tidak membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kaninet ketika ia dibincangkan.

Husni bagaimanapun menjawab: “Dalam politik, keadaan agak berbeza”.


Husni: Kabinet jarang bincang, hanya setuju

10.45 pagi: Ahmad Husni Hanadzlah berkata ketika dia masih menjadi menteri kewangan kedua, Kabinet jarang mengadakan perbincangan dan hanya bersetuju dengan perkara yang dibentangkan.

Saksi ke-56 pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

"Tiada perbincangan, hanya bentang, kemudian setuju. Itulah realiti Kabinet.

"Ketika bentang, setuju. Kecuali untuk 1MDB, ketika itu ada clash (pertentangan) sedikit," katanya.

Beliau menjawab soalan Shafee berkenaan sama ada mesyuarat kabinet yang dihadirinya ada membincangkan sama ada untuk meluluskan cadangan mengeluarkan jaminan kerajaan terhadap pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM2 bilion kepada SRC International.


Hakim tak benarkan peguam tanya soal dakwaan gangguan seksual

10.16 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menghalang pembelaan daripada terus menyoal menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah berkenaan dakwaan dirinya membuat gangguan seksual.

Ia selepas bantahan oleh DPP V Sithambaram, yang menyifatkan soalan berkenaan itu bersifat skandal dan tidak relevan dengan asepk utama kes RM42 juta SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

"Berkenaan isu dakwaan seksual, ia bersifat scandalous, jadi sama tidak benarkan sebarang soalan berkenaannya," kata Nazlan.

Sebelum itu, Shafee berkata soalan berkenaan perkara tu relevan bagi memastikan kewibawaan Husni sebagai saksi.

Sithambaram kemudian berkata soalan itu tidak patut dibenarkan kerana jawapan saksi, seperti berkenaan dakwaan laporan polis oleh pekerjwa wanita, tiada kaitan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram ke atas Najib.


'Najib terlibat dalam gangguan seksual terhadap saya'

10 pagi: Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah yakin Najib Razak adalah individu di belakang dakwaan dirinya melakukan gangguan seksual.

Dakwaan mengejutkan ini dibuat Husni ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Husni berkenaan dokumen hansard parlimen bagi ucapannya pada 24 Oktober 2016.

Dalam ucapan itu, Husni berkata selepas dia membangkitkan kebimbangan terhadap cara 1MDB diuruskan, dia dilanda pelbagai dakwaan serius seperti rasuah dan gangguan seksual terhadap seorang pekerja perempuannya.

Shafee: Itu sebab anda kecewa (upset)?

Husni: Ya.

Shafee: Anda kaitkan (dakwaan gangguan seksual) dengan Najib?

Husni: Ya.

Shafee: (Dakwaan) Gangguan seksual oleh pekerja anda sendiri. Anda fikir Najib di belakang laporan gangguan seksual terhadap anda oleh pekerja anda sendiri?

Husni: Ya.

Shafee: Ada laporan polis terhadap anda?

Husni: Ya.

Muhammad Shafee Abdullah


'Saya tipu untuk lindungi Najib'

9.50 pagi: Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah berkata dia berbohong kepada media dan orang awam pada 2016, apabila berkata peletakan jawatannya tiada kaitan dengan 1MDB atau SRC International.

Dalam keterangannya, dia berkata tindakan itu atas rasa hormat kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

"Yang Arif, anda mahu saya hormat PM atau tidak?

"Atas rasa hormat, saya beritahu kepada media, ia tak ada kaitan (dengan 1MDB dan SRC)," katanya ketika ditanya peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan kenyataannya ketika wawancara bersama media dan ucapan di kawasannya ketika menjadi anggota parlimen Tambun.

Husni: Saya letak jawatan sebab Najib mahu pindahkan saya dan kerana Allah.


9.45 pagi: Pendengaran bersambung hari ini dengan bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah kembali sebagai saksi ke-56 pendakwaan.

Selepas beberapa soalan daripada DPP Muhammad Izzat Fauzan untuk pemeriksaan utama, mahkamah mendengar perincian oleh Husni berkenaan kelayakannya dalam bidang kewangan ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee kemudian meneruskan soalannya dengan bertanya sebab Husni meletakkan jawatan daripada kabinet pada 2016.

Menurut Husni, dia memberitahu perdana menteri ketika itu Najib Razak untuk menggugurkannya kerana Najib mahu memindahkannya ke kementerian 'kerajaan tempatan'.

Dia juga menafikan laporan media berkenaan dia akan dipindahkan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Ini yang keluar dari mulut PM (yang saya akan dipindah untuk mengetuai kementerian kerajaan tempatan)."

Katanya lagi, itu bukan satu-satunya sebab dia letak jawatan.

Dia berkata sudah berhasrat berbuat demikian sejak 2015 ketika diberi tanggungjawab melaksanakan pelan rasionalisasi hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion.


9.16 pagi: Najib yang pada mulanya duduk di galeri awam masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.


Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah mungkin akan terus memberi keterangan mengejutkan berkenaan 1MDB, dengan perbicaraan kes RM42 juta SRC International terhadap Najib Razak masuk hari ke-50.

Antara pendedahan menggamamkan yang dibuat Husni pada Selasa lalu ialah berkenaan bekas perdana menteri "autokratik" yang memberitahunya agar tidak campur tangan dalam 1MDB.

Walaupun menjadi orang nombor dua di Kementerian Kewangan, Husni juga berkata beliau hanyalah seperti "peon" atau budak pejabat dalam hal pembuatan keputusan untuk memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM2 bilion pertama kepada SRC International.

Peguam belas dijangka akan terus menyoal saksi ke-56 itu selepas memohon agar perbicaraan tidak dibuat semalam bagi membuat persediaan untuk hari ini.

Ia mungkin kerana keterangan Husni berisiko menyangkal hujah pembelaan bahawa Najib tidak sedar akan apa yang didakwa sebagai komplot ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dalam transaksi jutaan ringgit melibatkan akaun AmBank bekas perdana menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS