Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan kes rakam bawah skirt diserah pada AGC
Diterbitkan:  Aug 7, 2019 5:48 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman hari ini memaklumkan bahawa kertas siasatan melibatkan bekas pembantunya yang didakwa merakam video bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

FMT memetik Azis sebagai mengesahkan bahawa pendakwaan berhubung kes itu akan diteruskan.

"Saya diberitahu dia akan didakwa, jadi kita akan tunggu. Ia terpulang kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Bekas pembantunya ditahan dan disiasat kerana mengaibkan kehormatan orang lain dan berkelakuan aib, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketika kejadian, individu berusia 48 tahun itu menemani Azis ke sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas di Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan polis, kakitangan kedai cermin mata itu, seorang wanita 30 tahun sedang membuat pemeriksaan mata ke atas Azis ketika individu itu menghampirinya dari belakang dan berkelakuan mencurigakan.

Selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis kedai itu, wanita berkenaan mendapati individu tersebut merakam bawah skirtnya menggunakan telefon bimbit.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi pada 8 Sept 2018 dan laporan polis dibuat di ibu pejabat polis Sentul pada sebelah malam hari kejadian.

Susulan itu, Azis, yang juga merupakan ahli parlimen Sepanggar, memecat pembantunya itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS