Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tabung Haji tegur khurafat tanam ‘ibu duit’ di Makkah
Diterbitkan:  Aug 7, 2019 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Perbuatan khurafat dilakukan jemaah haji di Tanah Suci terutama ketika ibadat Masyair adalah perbuatan sia-sia, sebaliknya mereka perlu mengamalkan doa kepada Allah, kata Pengarah Operasi (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah.

Memberikan contoh, beliau berkata perbuatan khurafat seperti menanam wang untuk dijadikan ibu duit di Arafah bagi menambah rezeki adalah sia-sia kerana doa bagi memohon bertambah rezeki di Makkah terutama di hadapan Kaabah di Masjidil Haram dan ketika ibadat Masyair di Muzdalifah adalah mustajab.

"Orang kita buat (khurafat) nak kaya, bekerja nak naik pangkat, nelayan atau petani nak hasil banyak semua itu dia buat nak tambah rezeki, tetapi dalam hal ini kenapa buat khurafat sedangkan di sini kalau nak rezeki banyakkan doa dan ibadat seperti solat sunat duha kepada Allah.

"Masalah jemaah haji buat khurafat ini ada tetapi tidak ramai. Ada laporan (jemaah) ambil tali khemah, ambil kerak nasi, tanam duit, bawa duit pergi tawaf jadikan ibu duit ... semua itu buat kononnya nak kaya, kalau nak kaya doalah kepada Allah," katanya pada sidang media tentang ibadat Masyair di sini hari ini.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Tengku Aziz berkata khurafat itu membawa kepada perbuatan syirik kepada Allah yang mana mereka yang melakukan syirik itu tidak akan dapat masuk syurga, justeru jemaah haji dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada melakukan perkara khurafat dan syirik itu.

Justeru, katanya TH telah meminta jemaah haji meninggalkan perbuatan itu, bersama perbuatan dimurkai Allah lain seperti sihir, susuk dan saka sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci ini, dan fokus kepada ibadat serta doa mereka kepada Allah di sini.

"Apabila sampai di Arafah mereka (jemaah haji) dalam keadaan ihram. Mereka dalam keadaan keampunan Allah maka penuhkan dengan ibadat, Arafah ini hari keampunan daripada Allah, yang mana Allah dekat dengan kita, malah malaikat akan aminkan doa kita.

"Buat perancangan supaya diri penuh amal ibadat, buat ibadat tersusun ada perancangan dan matlamat seperti selesai baca al-Quran. Hindar perbuatan seperti berswafoto selalu atau habiskan masa sia-sia, bukan tidak boleh ambil gambar tetapi berpada-pada," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS