Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah didakwa tawar jadi ‘sugar daddy’ masih dalam siasatan polis
Diterbitkan:  Aug 7, 2019 8:53 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di Terengganu yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelajar wanita masih berada dalam siasatan pihak polis dan universiti.

Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan balas kepada Malaysiakini hari ini, UiTM memberitahu bahawa pihak universiti tidak dapat mendedahkan butiran lanjut berhubung kes berkenaan.

“Pihak kami tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat berkaitan kes ini memandangkan ia masih dalam siasatan pihak polis dan juga siasatan dalaman universiti,” menurut kenyataan tersebut.

Gangguan seksual itu dikatakan berlaku di bilik pensyarah tersebut pada 23 Jun lalu.

Pada 8 Julai, Malaysiakini melaporkan bahawa mangsa mendakwa diminta ke bilik pensyarah tersebut pada kira-kira jam 9 pagi sebelum pintu bilik dikunci dari dalam dan mangsa diajak berborak.

Pensyarah terbabit kemudian dikatakan menawarkan untuk menjadi “sugar daddy” kepada mangsa dengan bayaran RM500 sebulan untuk khidmat seks atau “aktiviti-aktiviti lain” seperti memegang payu dara mangsa.

Susulan daripada itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu membuat laporan polis pada 24 Jun. Pensyarah tersebut telah ditahan, namun dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, sumber mengatakan melalui edaran pada 12 Julai lalu, jawatankuasa tatatertib universiti itu bersetuju menggantung pensyarah itu dari menjalankan tugas bagi tujuan siasatan dalaman bermula 16 Julai.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS