Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC bantah permohonan Haniff Khatri jadi pencelah
Diterbitkan:  Aug 5, 2019 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla untuk menjadi pencelah dalam permohonan Ketua Hakim Negara bagi membatalkan sebahagian daripada afidavit sokongan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang difailkan bersama saman pemula oleh anak perempuan kepada mendiang Karpal Singh.

Saman itu difailkan peguam Sangeet Kaur Deo selaku pemohon terhadap Ketua Hakim Negara ketika itu (14 Jan 2019 dan nama tidak dinyatakan) berhubung dakwaan campur tangan oleh Badan Kehakiman dalam keputusan kes hasutan Karpal Singh dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Mohamed Haniff berkata Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang mewakili AGC telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan membantah terhadap permohonannya untuk menjadi pencelah di dalam permohonan Ketua Hakim Negara ketika itu.

"Oleh itu, mahkamah telah mengarahkan AGC untuk memfailkan afidavit dalam masa dua minggu," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jaffril hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah juga menetapkan 29 Ogos ini untuk mendengar permohonannya untuk menjadi pencelah dan bantahan daripada AGC.

Mohamed Haniff yang memfailkan permohonan pada 26 Julai lepas memohon supaya diberi kebenaran untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai pihak di dalam permohonan responden (Ketua Hakim Negara) bagi membatalkan sebahagian afidavit yang diikrarkan oleh hakim Mahkamah Rayuan itu (Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer) pada 14 Feb lepas.

Peguam itu berkata jika permohonan sebagai pencelah ditolak, beliau memohon supaya dibenarkan untuk hadir dan berhujah sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) semasa pendengaran permohonan responden bagi membatalkan sebahagian afidavit berkenaan.

Mohamed Haniff memohon untuk menjadi pencelah atas alasan beliau mempunyai kepentingan secara peribadi dan sebagai peguam dalam permohonan pembatalan afidavit itu selain mendakwa namanya telah dirujuk oleh pemohon (Sangeet) dalam kes itu serta dinyatakan dalam afidavit diikrarkan Hamid Sultan.

Peguam itu berkata beliau juga mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia bagi menjalankan siasatan lengkap dengan adil dan saksama untuk menyiasat campur tangan oleh hakim tertinggi di dalam sistem kehakiman negara ini.

Pada 14 Jan lepas, Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara (nama tidak dinyatakan) gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang Karpal Singh dan kes guru tadika, M Indira Gandhi.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila Mohamed Haniff mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal Singh telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal berita dalam talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos 2018.

Peguam itu turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Indira Gandhi dan perkara itu diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam ucapan beliau pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa pada 16 Ogos 2018.

Pada 29 Mac lepas, Mahkamah Persekutuan membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan almarhum Sultan Perak berkaitan krisis negeri Perak.

Mahkamah itu turut membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan denda RM1,800 ke atas Karpal Singh. Balu beliau, Gurmit Kaur, 70, bertindak sebagai perayu gantian dalam rayuan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS