Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-48: Di luar mandat bagi Nik Faisal arah pemindahan antara akaun

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-48 hari ini.

Malaysiakini membawa laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Perbicaraan disambung esok

5.08 petang: Peguam Harvinderjit Singh memaklumkan mahkamah bahawa beliau mempunyai masa selama satu jam lagi untuk memeriksa balas bekas pengurus perhubungan AmBank , Joanna Yu.

Beliau memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika pembelaan meminta prosiding ditangguhkan ke hari esok.

Harvinderjit: Saya ada satu lagi jam untuk habiskan, bolehkah ditangguh esok?

Nazlan: Satu jam?

Harvinderjit: Ya.

Nazlan: 9:00 pagi (esok).

Prosiding itu ditangguhkan pada jam 9 pagi esok.


Di luar mandat bagi Nik Faisal arah pemindahan antara akaun

4.40 petang: Bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu bersetuju bahawa adalah di luar mandat Nik Faisal Ariff Kamil untuk mengarahkan pemindahan daripada akaun Najib Razak.

Saksi itu bersetuju dengan perkara berkenaan ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh berkenaan surat mandat.

Harvinderjit: Kamu setuju bahawa mandat kepada Nik Faisal adalah untuk mengeluarkan arahan bertulis pada kiriman wang dan sebagainya, ia tidak kata pemindahan antara akaun?

Yu: Ia tidak kata (pemindahan antara akaun).

Harvinderjit: Jadi ini adalah di luar mandat Nik Faisal?

Yu: Kena semak dengan cawangan.

Harvinderjit: Kamu setuju (berdasarkan eksibit surat mandat kepada Nik Faisal)?

Yu: Ya.

Beliau juga berkata surat mandat lain untuk Nik Faisal, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SRC International juga menyatakan yang sama.

Terdahulu, Harvinderjit menyoal beliau berhubung pelbagai pemindahan bernilai jutaan ringgit yang masuk dan keluar dari akaun AmBank Najib pada 2014 yang dikaitkan dengan Putra Perdana Construction dan akaun Permai Binaraya.


Saksi tak dapat sahkan Najib tandatangani surat batal transaksi

3.35 petang: Mahkamah terdahulu mendengar bahawa untuk membatalkan dua pemindahan bernilai RM32 juta, Low Taek Jho telah mengaturkan surat arahan yang ditandatangani oleh tertuduh, Najib Razak.

Peguam Harvinderjit Singh (gambar) mencabar perkara itu ketika pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan pelanggan AmBank, Joanna Yu.

Berdasarkan perbualan antara Yu dan Low pada 24 Disember 2014, Harvinderjit cuba membuktikan bahawa Low mengembalikan salinan surat yang diimbas bertandatangan Najib sejurus selepas Yu menghantar e-melnya kepadanya.

Walaupun Yu tidak dapat mengesahkan perkara itu beliau bersetuju bahawa seseorang tidak mungkin dapat menyelesaikannya dalam satu minit.

Beliau kemudian bersetuju bahawa beliau tidak dapat mengesahkan jika surat itu ditandatangani oleh Najib.

"Saya tidak melihat dia menandatangani (surat itu)," katanya.


Saksi: Mandat Nik Faisal tak memadai untuk terbalikkan transaksi

3.15 petang: Mahkamah diberitahu bahawa ahli perniaggan Jho Low berdepan masalah untuk membatalkan transaksi RM32 juta yang dipindah ke dalam akaun Najib Razak di AmBank pada Disember 2014.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu berkata ia kerana mandat Nik Faisal Ariff Kamil tidak memadai untuk mengeluarkan arahan seumpama itu kepada AmBank.

Low mahu AmBank menterbalikkan transaksi (reverse transfer) RM27 juta dari Permai Binaraya Sdn Bhd ke akaun 880 dan RM5 juta dari Putra Perdana Construction ke akaun 906.

Walaupun Nik Faisal diberi mandat untuk mengendalikan tiga akaun Najib di AmBank, dia hanya diberi kuasa untuk memberi arahan berkenaan pemindahan antara akaun-akaun tersebut, bukan pemindahan keluar dana ke akaun lain.

Oleh sebab itu, Low mengarahkan Yu untuk menyediakan surat arahan untuk ditandatangani Najib.

Menurut Yu lagi, Low mahu pengiriman wang (remittance) itu dibuat sebelum 2015 dan maka berkata surat arahan yang ditandatangani Najib akan dihantar ke AmBank dahulu, sebelum disusuli salinan asal.


'Jho Low kata Najib tak mahu tutup akaun'

2.55 petang: Ahli Perniagaan Jho Low pada Disember 2014 memberitahu bahawa Najib Razak tidak mahu menutup akaunnya di AmBank, kata bekas pengurus perhubungan bank itu Joanna Yu.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, Yu berkata perbualan mengenai hal itu dibuat menerusi BlackBerry Messenger pada 20 Disember tahun itu.

Ketika memberi keterangan, Yu juga berkata Low  mengarahkannya untuk menyediakan surat arahan untuk AmBank keesokannya untuk membatalkan transaksi berjumlah RM27 juta dan RM5 juta ke akaun 880 dan 906 milik Najib.

Perbualan yang dibaca Harvinderjit di mahkamah menunjukkan Low memberitahu Yu agar menyediakan draf untuk ditandatangani Nik Faisal Ariff Kamil dan dihantar ke bank.

Nik Faisal ialah pemegang mandat untuk mengendalikan akaun AmBank Najib.


Saksi: Jho Low minta batalkan transaksi RM270 juta

2.30 petang: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu dalam keterangannya berkata, antara 21 Ogos hingga 2 September 2014, ahli perniagaan Jho Low memberitahunya agar membatalkan pemindahan RM27 juta ke dalam akaun Najib yang berakhir dengan 880.

Saksi ke-54 itu setuju dengan peguam Harvinderjit Singh bahawa Jho Low memberitahunya tentang perkara itu dalam tempoh tersebut.

Dia juga setuju permintaan itu merujuk kepada pemindahan RM27 juta daripada Putra Perdana Construction kepada Permai Binaraya, dan kemudian ke akaun 880.


2.24 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar permohonan untuk membatalkan permohonan pendakwaan agar Najib memohon maaf berkenaan hantaran Facebook yang dibuatnya berkenaan perbicaraan.

Peguam Negara Tommy Thomas dan ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah tarikh itu.

Permohonan pendakwaan itu berkenaan dua hantaran di Facebook Najib, yang didakwa sub judice terhadap perbicaraan yang sedang berlangsung.


2.08 petang: Najib Razak masuk ke kandang tertuduh untuk menunggu perbicaraan bermula.

Turut dilihat di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan barisan timbalan pendakwa raya, serta ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan barisan peguam bela bekas perdana menteri.

Bekas pengurus perhubungan AmBank yang juga saksi ke-54, Joanna Yu dilihat berada di kandang saksi.

Perbicaraan bermula pada kira-kira 2.23 petang.


Hari ke-48 perbicaraan terhadap Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International berjumlah RM42 juta bermula agak lewat - iaitu dua petang - berbanding biasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan waktu itu untuk membenarkan pihak pendakwaan dan pembelaan menghadiri pendengaran di Mahkamah Rayuan berkenaan permohonan menangguhkan satu lagi perbicaraan yang melibatkan bekas perdana menteri.

Mahkamah Rayuan hari ini dilaporkan menolak permohonan pembelaan dan pendakwaan untuk menangguhkannya.

Ia berkenaan dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. Perbicaraan itu bakal didengar di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pada 19 Ogos ini.

Dengan dua minggu lagi sebelum ia bermula, pihak terbabit risau kemungkinan perbicaraan SRC yang sedang berjalan akan bertembung dengan perbicaraan kes itu.

Hari ini saksi ke-54 pendakwaan Joanna Yu - yang merupakan bekas pengurus perhubungan AmBank - dijadual sekali lagi menjalani pemeriksaan balas, selain saksi lain yang mungkin dipanggil.

Justeru wujud kebimbangan sama ada peringkat pendakwaan bagi perbicaraan ini dapat dihabiskan sebelum 19 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS