Kerajaan dijangka melanjutkan permit operasi kilang pengeluaran nadir bumi, Lynas Corp untuk tempoh sementara selama tempoh enam bulan bagi memperbaharui permitnya yang akan berakhir 2 Sept.
Menurut sumber, perkara itu diputuskan oleh kabinet pada Rabu lalu.
Sementara itu, Lynas Corp dijangka memaklumkan kepada kerajaan satu rancangan komprehensif untuk menangani sisa penulenan air larut lesap (WLP).
Sisa WLP antara lain mengandungi thorium, bahan radioaktif yang boleh menyebabkan kanser apabila terdedah kepada manusia.
Thorium adalah sebab utama mengapa kerajaan menutup kilang Asian Rare Earth Sdn Bhd (ARE) yang kontroversi di Perak pada 1980-an.
Menurut sumber, mesyuarat kabinet berhubung permit Lynas menyaksikan sekurang-kurangnya tiga menteri menyokong pembaharuan permit berkenaan.
Bagaimanapun, difahamkan semua menteri, yang membantah operasi Lynas ketika mereka berada dalam pembangkang, tetap konsisten dengan pendirian mereka.
Ia juga difahamkan walaupun kabinet mencapai keputusan menggugurkan syarat diiletakkan Menteri Alam Sekitar, Yeo Bee Yin agar Lynas menghantar sisa WLP keluar dari negara ini, ia tidak dibuat sebulat suara.
Satu kompromi untuk memperbaharui lesen itu akhirnya dicapai - dengan menangguhkan keputusan selama enam bulan, kata sumber.
"Selepas enam bulan, mereka akan menilai semula syarat itu lagi," kata sumber.
Langkah kebelakang
Keputusan kabinet menggugurkan syarat Yeo agar sisa radioaktif dibawa keluar dari negara ini akan menjadi langkah kebelakang bagi kempen anti-Lynas oleh Pakatan Harapan (PH).
Walaupun Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula mencadangkan agar loji pelupusan kekal (PDF) dalam sempadan Malaysia, Yeo menegaskan bahan radioaktif itu perlu dihantar ke luar negara.
Menurut kenyataan dari Lynas semalam, syarikat itu masih dalam proses mencari tapak PDF di Pahang.
Pembaharuan permit Lynas menjadi isu panas kerana ia memiliki manfaat ekonomi tetapi dianggap sensitif kerana risiko kesihatan yang berkaitan dengannya.
China memonopoli penghasilan unsur nadir bumi, yang digunakan dalam produk pengguna secara meluas termasuk untuk kegunaan kereta elektrik, enjin jet tentera, satelit dan laser.
Sumber mengatakan kabinet telah membincangkan perkara itu selama berbulan-bulan.
Walaupun manifesto PH tidak menyebut mengenai penapisan nadir bumi yang mula beroperasi pada tahun 2012, beberapa anggota parlimen PH telah lama berkempen untuk membantah isu itu kerana risiko kesihatan.
Kerajaan dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai permit yang dilanjutkan selama enam bulan itu, dengan butiran lanjut dalam masa dua minggu.
Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman dan Andrew Ong.