Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
UPNM nafi dera jadi budaya universiti
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menafikan buli dan deraan menjadi budaya universiti itu.

Bagaimanapun universiti itu tidak menafikan kes-kes deraan memang pernah berlaku di kalangan pelajarnya pada masa lalu.

"Universiti mengambil serius terhadap apa-apa kes deraan sama ada yang melibatkan pegawai kader mahupun pelajar awam.

"UPNM mengamalkan konsep 'zero tolerance for ragging' dan mereka yang terlibat telah pun diambi tindakan tatatertib termasuk pembatalan tauliah serta disabitkan di mahkamah mengikut perundangan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan video insiden deraan yang terjadi di universiti itu yang tular di media sosial.

UPNM berkata video itu memberi gambaran bahawa deraan adalah amalan biasa di universiti yang menurutnya tidak benar.

"Berdasarkan siasatan dalaman, video itu merupakan satu kes yang berlaku pada 2016 dan memberi gambaran tidak tepat mengenai keadaan ketika ini.

"Satu laporan polis telah dibuat mengenai video ini agar satu siasatan dapat dijalankan untuk menentukan pihak yang terlibat (menyebarkannya) dan motifnya.

"Diharapkan kenyataan ini dapat memberi penjelasan dan gambaran sebenar terhadap video yang ditularkan serta pendirian UPNM mengenai isu penderaan di universiti," katanya lagi.

UPNM sekali lagi menjadi perhatian apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan 18 pelajarnya yang terlibat dalam dakwaan membunuh pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, untuk membela diri.

Enam daripadanya didakwa membunuh dan bersubahat, manakala 12 lagi atas pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Zulfarhan antara lain dilaporkan ditekap dengan seterika panas di dormitori UPNM pada 22 Mei 2017, selepas dituduh mencuri komputer riba.

Allahyarham meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang. Dia dilaporkan mengalami lebam dan lecur di dada, tangan dan kaki.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS