Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Malaysia wajar menjadi watak utama melindungi pendakwah terkenal, Zakir Naik, sesuai dengan statusnya sebagai antara negara menjadi tulang belakang kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah, berkata Zakir perlu dilindungi kerana selain disegani pendakwah dari India itu juga menjadi sasaran kebencian pihak tertentu yang melihatnya sebagai ancaman.

"Walhal semasa menyampaikan dakwahnya beliau tidak menggunakan kekerasan dan tidak mengajak orang kepada keganasan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Mohd Ariff hanya kerana gagal mengatasi hujah yang dikemukakan Zakir, justeru dia dianggap musuh dan ancaman utama kumpulan anti-Islam.

Katanya sebagaimana pendakwah lain, Zakir juga perlu diberikan kebebasan untuk menyampaikan dakwahnya di negara ini.

Ini kerana katanya Islam merupakan agama rasmi persekutuan dan bilangan penduduk Muslim di negara kita melebihi 60 peratus.

"Orang Islam juga kita tidak pernah menghalang orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama mereka masing-masing," katanya.

Ambil tindakan terpilih

Mohd Ariff berkata demikian sebagai mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang, yang menyokong supaya Zakir keluar dari Malaysia secara sukarela.

Terdahulu Lim mengulas pandangan penulis, Anas Zubedy, yang berpendapat Zakir perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan Malaysia.

Selain itu kehadiran Zakir juga ialah boleh menimbulkan ketengan dalam keluarga, membawa persepsi salah bukan Islam terhadap Islam, perbandingan agama tidak sesuai di negara ini serta melambatkan pemulihan politik.

Mohd Ariff menegaskan, pendakwah yang lain serta umat Islam di negara ini tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk menganut agama itu kerana memang Muslim berpegang kepada perintah "tiada paksaan dalam beragama".

Mohd Ariff

Sebaliknya, kata Mohd Ariff, Lim patut bermuhasabah dan mengambil tindakan drastik terhadap dakwaan yang mengaitkan seorang pemimpin kanan DAP dengan pengganas luar negara.

"Banyak laporan polis dibuat, namun tiada tindakan yang diambil malah pemimpin DAP mempertahankannya pula.

"Ini membuktikan DAP hanya mahu mengambil tindakan terpilih apabila hanya melibatkan kepentingan Islam.

"Sebaliknya, Zakir tidak akan menjejaskan kestabilan politik negara. Zakir tidak mempunyai apa-apa kuasa yang boleh mengubah politik negara.

"Sebaliknya yang boleh menjejaskan kestabilan negara dan umat Islam adalah DAP. Mereka telah menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa politik," ujarnya.

Tambah Mohd Ariff, banyak pertikaian dan percubaan DAP masuk campur dalam hal ehwal umat Islam di negara ini termasuk dalam hal undang- undang Islam.

"Yang terbaharu mereka (DAP) menonjolkan bantahan mereka dalam isu tulisan khat Jawi yang menjadi hak eksklusif untuk orang Islam, demikian beraninya DAP masuk campur dalam urusan umat Islam di negara ini.

"Sikap DAP tidak pernah berubah dan lakonan mereka hebat. Kepentingan dan matlamat halus mereka akan sentiasa dijayakan termasuklah dengan mendesak Zakir meninggalkan negara kita.

"Bagi pihak pemuda PAS Kelantan, kami sentiasa berada bersama kebenaran. Zakir perlu dipertahankan dan kitalah yang wajib mempertahankannya," kata Mohd Ariff.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS