Kerajaan akan mengambil kira semua kritikan yang dibangkitkan susulan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) 2019 Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebelum bacaan kali kedua, kata Menteri Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
Katanya, masih ada beberapa bulan lagi sebelum pindaan RUU yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 18 Julai diteruskan untuk bacaan kedua dan ketiga pada sesi parlimen akan datang yang dijadualkan pada bulan Oktober
"Sekarang, kita ada lebih kurang tiga bulan kerana parlimen akan bersidang semula pada 7 Oktober hingga 5 Disember.
"Kita ada lebih kurang dua bulan untuk mengkaji semua komen dan seumpamanya," kata Liew pada sidang media di Putrajaya hari ini selepas merasmikan bengkel dua hari bagi membincangkan cara mempertingkatkan perlindungan kepada pendedah maklumat atau 'whistleblowers' di Malaysia.
Antara lain, Penasihat Suara Rakyat Malaysia Kua Kia Soong, memberitahu bahawa RUU IPCMC merangkumi semua salah laku polis tetapi isu serius iaitu kematian dalam tahanan hanya disebut sepintas lalu di bahagian "lain-lain".
Sementara itu, Pengarah Human Rights Watch Asia, Phil Robertson berkata, RUU itu juga gagal memperjelaskan kuasa suruhanjaya untuk mengarahkan siasatan jenayah ke atas pegawai polis dan memberi pengawasan yang berkesan terhadap pendakwaan jenayah.
"Walaupun suruhanjaya diberi kuasa untuk menyiasat kesalahan jenayah oleh pihak polis, RUU itu menyatakan bahawa 'di mana penemuan mendedahkan apa-apa kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis,' suruhanjaya itu perlu merujuk kepada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan.
Robertson turut menyatakan bahawa RUU itu tidak menyatakan sama ada pihak berkuasa yang dimaksudkan itu adalah peguam negara atau polis, dan tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mengambil tindakan susulan jika tiada siasatan dijalankan.
Liew hari ini menjelaskan bahawa IPCMC diberi kuasa menyiasat salah laku tatatertib tetapi sebarang elemen rasuah atau kesalahan jenayah akan ditangani secara serentak oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
"Jika ada dakwaan salah laku, maka IPCMC akan menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasatnya.
"Tetapi kuasa siasatan akan diserahkan kepada SPRM jika ia melibatkan rasuah dan jika terdapat kesalahan jenayah, ia akan dilakukan oleh pasukan polis," katanya.
"Sudah tentu, saya mengalu-alukan semua komen dan kritikan positif dan kami akan melihatnya," katanya.
Pembentangan RUU itu dibuat 14 tahun selepas Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, diketuai oleh bekas ketua hakim negara Mohamed Dzaiddin Abdullah, yang mencadangkan penubuhan IPCMC.
Antara fungsi yang disenaraikan untuk suruhanjaya itu adalah "kawalan disiplin ke atas semua anggota pasukan polis."
Suruhanjaya itu juga akan ditugaskan untuk menggalakkan integriti dikalangan pasukan polis, menyiasat aduan salah laku terhadap polis, dan merumuskan mekanisme untuk mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku.