KES NAJIB | Seorang pegawai bank membayar RM55,000 menggunakan duitnya sendiri untuk menyeimbangkan semula akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak yang dananya terlebih keluar pada 2014.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar hal ini daripada saksi bekas pengurus perhubungan pelanggan AmBank, Joanna Yu hari ini.
Semasa pemeriksaan balas, Joanna mengesahkan log perbualan BlackBerry Messenger dengan setiausaha Jho Low mengenai perkara ini.
Log perbualan itu menunjukkan Yu telah memaklumkan kepada Jho Low bahawa akaun bank Najib yang berakhir dengan angka 906 telah terlebih keluar sebanyak RM55,000 kerana cek RM80,000 dikeluarkan ketika terdapat baki yang tidak mencukupi.
Susulan itu, Jho Low mengarahkan Yu untuk menghubungi seorang bernama Kee Kok Thiam untuk membiayai akaun Najib.
Kee bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian.
Yu kemudian menghubungi Josie, yang dikenali sebagai setiausaha Jho Low. Josie juga tidak dapat memindahkan wang itu ke akaun Najib.
Menurut log perbualan yang dibacakan oleh peguam bela Harvinderjit Singh, Yu kemudian menulis kepada Josie: "Saya mungkin perlu membantunya membiayai (akaunnya) terlebih dahulu,"
Harvinderjit: RM55,000 tidak datang dari Kee atau Josie?
Yu: Saya tidak ingat.
Harvinderjit: Sekali lagi saya cadangkan, ia datang dari anda. Dan Josie membayar balik kamu keesokan harinya?
Yu: Mungkin.
Saksi itu kemudian mengesahkan perbualan lain antara dia dan Josie, yang berlaku pada hari berikutnya. Dalam perbualan itu, Yu berterima kasih kepada Josie kerana membayar jumlah dana berkenaan.
Terdahulu hari ini, mahkamah mendengar Yu beranggapan bekas ketua pegawai eksekutif Putra Perdana Jerome Lee bertanggungjawab kepada Jho Low.
Harvinderjit: Kamu gunakan (istilah) "boss" untuk Low, membayangkan Low berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dari Lee, yang mengambil arahan daripada Low?
Yu: Ya.
Tu berkomunikasi dengan Lee mengenai pemindahan RM27 juta daripada akaun Maybank Permai Binaraya ke akaun AmBank Najib dengan nombr 880 pada Julai 2014.