Paling Popular
Terkini

Masa depan Harimau Malaya kini dilihat semakin terumbang-ambing susulan kerakusan pemburu haram yang terus memburu tanpa mengira natijahnya, walaupun sehingga menceroboh ke kawasan hutan simpan Belum-Temengor, dan berterusan menjejaskan kehidupan lain-lain hidupan liar di sana, termasuk yang menjadi sumber makanan buat harimau.

Dalam temubual Bernama dengan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Ketua Lanskap Harimau Dr Mark Rayan Darmaraj berkata apa yang menyedihkan ialah ketika ini populasi harimau dalam negara semakin berkurangan sehingga jumlahnya kini tidak sampai 200 ekor.

Aktiviti pemburu haram yang didorong oleh permintaan tinggi untuk anggota badan harimau bagi tujuan perubatan tradisional Cina serta lain-lain kegunaan, turut menarik kehadiran pemburu asing dari negara-negara seperti Vietnam, Thailand, dan Kemboja dalam negara.

Mereka memasang beribu-ribu perangkap seperti perangkap berkawat, jauh di tengah hutan, menangkap harimau dan juga lain-lain haiwan liar yang ada.

“Pengurangan jumlah haiwan liar dalam hutan seperti rusa dan babi liar yang dianggap sebagai sumber makanan biasa bagi harimau sebenarnya bukan sahaja disebabkan oleh kerakusan pemburu haram, tapi juga penduduk tempatan yang memburu haiwan-haiwan ini bagi tujuan riadah,” katanya.

“Ini juga secara tidak langsung boleh dianggap sebagai pemburu haram, kerana ia memberi kesan kepada masa depan harimau dalam hutan negara,” tambahnya.

Bergantung kepada berapa besar mangsanya, rusa kecil sebesar kijang (muntjac) boleh menjadi sekadar snek sahaja buat seekor harimau, jadi ia perlu memburu lagi dan mermerlukan lebih banyak tenaga. Seekor rusa dewasa pula membolehkan harimau itu berhenti berburu selama 10 hari, sebelum kembali mencari mangsanya.

Menurut Mark, harimau yang menjaga kawasan biasanya akan merayau dalam kawasannya di hutan, mencari makanan atau pasangan, namun jika tiada haiwan berkeliaran di kawasan itu, harimau itu tidak akan dapat hidup lama kerana tiada makanan di tempat itu.

Salah satu usaha yang dijalankan oleh WWF bagi menyelamatkan harimau adalah mewujudkan pasukan-pasukan peronda turut disertai orang asli di kawasan Belum-Temenggor, dan pasukan-pasukan ini akan mengambil giliran untuk meronda, memusnahkan perangkap yang ditinggalkan pemburu haram dan melapor kembali kepada WWF.

“Kita ada beberapa pasukan yang mengendalikan tinjauan harian, namun jumlah tenaga kerja masih tidak mencukupi memandangkan lebih banyak lagi kawasan hutan yang luas itu yang perlu dipantau."

Awang Besul

Baru-baru ini pencinta alam menyuarakan keterujaan mereka mengenai berita terbaru berhubung kesediaan pasukan polis membantu renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dalam menjalankan rondaan jauh di tengah hutan.

Polis Diraja Malaysia dilaporkan bersetuju untuk menghantar dua petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) dari batalion Senoi Praaq bagi menjalankan rondaan di kawasan yang ditetapkan bagi menahan pemburu haram, terutama mereka yang memburu Harimau Malaya.

Sejak 2014, pasukan ronda WWF berjaya memindahkan sekitar 1,400 perangkap di samping membebaskan 269 haiwan yang terperangkap dalam perangkap itu.

Mark seterusnya turut memuji usaha gigih Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memperjuangkan pemuliharaan Harimau Malaya sejak beliau menerajui kementerian itu.

Nasib haiwan itu mulai mendapat perhatian ramai baru-baru ini susulan kemunculan seekor harimau yang merayau-rayau di Kampung Besul, Bukit Besi di Dungun, Terengganu pada 18 Julai lepas. Harimau itu ditangkap oleh Perhilitan, namun ia mati tidak lama kemudian, dan ujian RT-PCR mengesahkan ia mati akibat diserang Virus Canine Distemper.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS