Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat FB dakwa ‘laporan forensik kes exco rogol hilang’
Diterbitkan:  Jul 30, 2019 6:36 PM
Dikemaskini: Jul 31, 2019 5:57 AM

[Nota editor: Versi sebelum ini telah tersilap menyandarkan komen di Facebook "1 Malaysia Tolak DAP" kepada Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie. Malaysiakini memohon maaf atas perkara itu. Tulisan asal telah diubah.]


Polis Perak membuat laporan polis terhadap laman Facebook yang mendakwa laporan forensik siasatan kes rogol exco kerajaan negeri Paul Yong telah hilang, dengan mengaitkannya dengan Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie.

Tulisan yang disiarkan di laman Facebook "1Malaysia Tolak DAP" itu antara lain menyebut: "Bagaimana ia boleh hilang? Di mana tangan tersembunyi yang mengarahkan laporan itu dihilangkan?"

Ketua Polis Perak Razarudin Husain bagaimanapun berkata polis masih menunggu laporan forensik daripada Jabatan Kimia.

"Laporan itu tidak hilang," katanya kepada pemberita menerusi WhatsApp.

 Dalam kenyataan terdahulu, Razarudin berkata dakwaan terhadap polis itu akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Seksyen 233 akta itu berkenaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang membawa hukuman sehingga setahun penjara atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkenaan fitnah jenayah yang membawa hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kenyataan tidak bertanggungjawab yang dimuat naik pemilik laman Facebook '1Malaysia Tolak DAP' ialah fitnah yang mampu mencabar integriti Polis Diraja Malaysia yang menyiasat perkara ini secara telus dan teliti," katanya.

Heng dalam kenyataannya mengesa Razarudin menjelaskan perkara itu dan tindakan diambil atas apa yang didakwanya sebagai "kecuaian".

Ketika ditanya pemberita, Razarudin mengesahkan polis akan memanggil Heng untuk diambil keterangan.

Yong dituduh merogol pembantu rumah warga Indonesianya awal bulan lalu. Dia yang juga adun Tronoh menafikan dakwaan itu dan berkata "terkejut dan keliru" dengannya.

Dia tampil secara suka rela di balai polis Jepalang pada 9 Julai untuk membantu siasatan kes tersebut dan ditahan seketika oleh polis, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Yong akan menjalankan tugas seperti biasa tetapi beberapa perkara yang memerlukannya membuat keputusan selaku exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, ditangguh dahulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS