Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 sedia untuk dilangsungkan dalam adat istiadat kesultanan Melayu penuh tradisi di Istana Negara hari ini, suatu peristiwa bersejarah di bawah sistem beraja yang unik di negara ini.
Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, istiadat pertabalan itu menandakan bermulanya secara rasmi pemerintahan lima tahun Sultan Abdullah sebagai ketua negara Malaysia.
Istiadat pertabalan itu juga semestinya mempunyai nilai sentimental dan kepentingan sejarah kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah apabila ia berlangsung pada hari ulang tahun ke-60 keputeraan Sultan Abdullah.
Dengan persediaan untuk melangsungkan istiadat itu yang tiba ke kemuncaknya hari ini, Istana Negara dihias dengan begitu indah dan teliti untuk menambah kegemilangan kepada upacara ini, menyerlahkan kedudukannya sebagai mercu tanda institusi raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.
Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara Azuan Effendy Zairakithnaini: “Masanya telah tiba untuk Yang di-Pertuan Agong ke-16 ditabalkan, dengan legasi untuk mendukung institusi Raja Berperlembagaan.”
Istiadat pertabalan itu sendiri merupakan bukti kepada kesinambungan pemerintahan Raja Melayu dalam tempoh 62 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan yang menyaksikan pertabalan 15 pemerintah dijalankan dalam upacara yang penuh adat istiadat dan gilang-gemilang.
Ini kali kedua sultan dari Pahang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas ayahanda Sultan Abdullah, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan memerintah dari April 1979 sehingga April 1984.
Sultan Abdullah, yang diisytiharkan sebagai Sultan Pahang keenam, menggantikan almarhum ayahanda baginda pada 15 Jan dan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Majlis Raja-Raja pada 24 Jan dan mengangkat sumpah pada 31 Jan.
“Persiapan di Istana Negara dibuat dengan penuh teliti bagi memenuhi harapan Seri Padua berdua, dan sudah tentulah ia perlu dilakukan tanpa sebagai cacat cela dan ketidaksempurnaan. Hasil bantuan beribu-ribu petugas yang terlibat (dalam persiapan itu), kami berdoa mudah-mudahan semua kerja keras ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata Azuan Effendy.
Kira-kira 700 tetamu terdiri daripada Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, menteri kabinet dan kenamaan dijangka menghadiri istiadat itu.
Turut diundang ialah kenamaan diraja dari luar negara termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan. Istiadat itu akan bermula pada 9 pagi dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia serta stesen televisyen lain.
- Bernama