Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Haniff fail permohonan mencelah isu lucut afidavit Hamid
Diterbitkan:  Jul 26, 2019 6:01 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Peguam Haniff Khatri memfailkan permohonan mencelah dalam permohonan oleh ketua hakim negara untuk mengeluarkan sebahagian afidavit oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Permohonan itu berkaitan dengan saman yang difailkan oleh peguam Sangeet Kaur Deo yang memohon pengisyitiharan bahawa ketua hakim negara - yang tidak dinamakan dalam saman pemula - telah gagal untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman kerana tidak menyelesaikan penyiasatan yang berkaitan dengan dua tuduhan campur tangan kehakiman.

Dalam dakwaan mengejutkan yang dinyatakan dalam afidavit 14 Feb lalu, Hamid mendakwa rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku secara meluas dalam badan kehakiman negara.

Pada 7 Mac, Jabatan Peguam Negara, yang mewakili ketua hakim negara memfailkan permohonan untuk mengeluarkan kandungan tertentu dalam afidavit itu yang disifatkan sebagai "serangan yang bersifat menghina, skandal, dan tidak adil terhadap badan kehakiman".

Haniff, yang merupakan peguam Hamid, berkata beliau mempunyai hak untuk mencelah dalam permohonan ketua hakim negara, antara lain, kerana dakwaanya tentang campur tangan kehakiman dalam perbicaraan hasutan Karpal Singh adalah kunci utama dalam saman Sangeet.

Haniff juga berkata beliau mempunyai kepentingan sebagai penyokong utama bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat badan kehakiman.

Sekiranya permohonan Haniff ditolak, beliau menawarkan diri untuk hadir dan bercakap sebagai kawan mahkamah (amicus curiae) semasa pendengaran permohonan ketua hakim negara untuk melucutkan kandungan afidavit Hamid.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS