Paling Popular
Terkini
story images
story images

Hadirin Simposium Ekonomi Malaysia yang julung kali diadakan hari ini diberi sedikit pengenalan untuk Rancangan Malaysia ke-12, yang dijadual dibentang pada 2020.

Ketika pembentangannya, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Zakiah Jaafar berkata rancangan itu sedang dirangka dan akan selaras dengan inisiatif 'Kemakmuran Bersama 2030' Pakatan Harapan, serta Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

Dan untuk kali pertama dalam sejarah rancangan Malaysia, kelestarian alam sekitar akan menjadi tumpuan utama.

"Apa yang terjadi di Pasir Gudang, di Sungai Kim Kim tidak boleh diterima... Kita pembawa pencemaran marin kelapan paling buruk di dunia, kita membunuh hidupan liar kita. Apa yang kita akan warisi kepada generasi seterusnya?

"Kali ini, kita akan sangat serius dan meletakkan kelestarian alam sekitar setahap dengan dimensi ekonomi," katanya dalam simposium yang diadakan di Parlimen itu.

Beberapa bulan lalu, sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup sementara selepas pelajar mula jatuh sakit akibat pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di sanan.

Berdasarkan slaid pembentangan Zakiah, dimensi kelestarian akan merangkumi inisiatif pengurangan perubahan iklim, pengurusan risiko bencana, skim insuran risiko bencana dan cukai karbon.

Selain soal itu, Rancangan Malaysia ke-12 juga akan merangkumi dimensi pemberdayaan ekonomi dan perekayasaan semula sosial (social re-engineering), kata Zakiah.

Dimensi pemberdayaan ekonomi antara lain akan menumpukan soal memacu ekonomi digital, reformasi sektor pertanian, menggiatkan semula Cyberjaya dan mewujudkan struktur cukai dan fiskal yang lebih progresif.

Perekayasaan semula sosial akan memerlukan tumpuan untuk meningkatkan modal sosial, kepaduan sosial dengan menangani kemiskinan bandar, mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik dan merapatkan jurang pendapatan, terutama di kalangan golongan B40 dan M40.

Ia juga antara lain merancang untuk menjamin pendidikan awal kanak-kanak untuk semua warga Malaysia dan "sistem sokongan kewangan berstruktur" untuk pelajar.

Zakiah berkata Rancangan Malaysia ke-12 - yang akan menjadi panduan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 - akan digunakan untuk menuju matlamat yang dinyatakan dalam inisiatif Kemakmuran Bersama 2030.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS