Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jho Low, Nik Faisal arah saya sembunyi nama Najib, kata saksi

KES NAJIB l Arahan supaya nama bekas perdana menteri Najib Razak disembunyikan semasa memproses urus niaga perbankannya dibuat oleh Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil, seorang saksi hari ini.

Mengesahkan perkara itu pada hari ke-44 perbicaraan SRC International ke atas Najib, bekas pengurus hubungan AmBank Joanna Yu semasa soal balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu bahawa dia diarah oleh Low dan Nik Faisal untuk tidak mendedahkan nama ahli politik setiap kali dana dimasukkan ke dalam akaunnya.

Nik Faisal, juga bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, adalah orang yang diberi kuasa untuk mengendalikan akaun bank Najib.

Yu: Ya, kami diberitahu bahawa kami tidak boleh menyenaraikan nama Datuk Seri (Najib).

Harvinderjit: Kamu diberitahu oleh Low bahawa ia adalah rahsia dan tidak mendedahkan namanya?

Yu: Saya diberitahu demikian oleh Low.

Semasa perbicaraan hari ini, Yu juga memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia disuruh memadamkan perbualan di Blackberry Messenger (BBM) miliknya pada 2015.

Menurut transkrip perbualan BBM Yu yang dibacakan di mahkamah oleh Harvinderjit, ahli perniagaan itu telah mengarahkannya untuk memadamkan catatan perbualannya pada pagi 3 Mac 2015.

Yu mengesahkan perbualannya itu tetapi memberitahu bahawa dia tidak mematuhi arahan Low.

"Ya (Low beritahu saya untuk memadamkan perbualan BBM) tetapi saya tidak pernah melakukannya, kerana saya tidak tahu bagaimana," katanya .

Yu juga menafikan bahawa dia memadamkan catatan perbualan BBM selepas Mac 2015 dan berkata bahawa catatan perbualan melalui aplikasi itu sepatutnya berada dalam BlackBerry miliknya yang dirampas oleh Bank Negara pada tahun yang sama.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan permohonan pihak pembelaan yang mewakili Najib untuk mengakses baki log perbualan dalam telefon BlackBerry milik bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh yang memohon masa untuk meneliti log bherkenaan yang diserahkan pihak pendakwaan kepada mereka hari ini.

Ia berikutan pasukan pembelaan mendapati mereka tidak dapat meneliti dokumen yang mengandungi log itu dalam masa 10 minit seperti yang diberi mahkamah pada permulaan prosiding perbicaraan petang ini.

Log berkenaan adalah transkrip perbualan menerusi BlackBerry Messenger (BBM), daripada telefon saksi pendakwaan ke-54 yang dirampas Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram tidak membantah permohonan itu dan mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini kepada Isnin hadapan.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar log perbualan itu ditanda sebagai "ID" (Ikatan Dokumen) di mana log itu hanya boleh dirujuk ketika keterangan, tetapi kandungannya tidak boleh dibaca di mahkamah sehingga ia ditanda sebagai bahan bukti.

Hakim Mohd Nazlan juga mengingatkan Yu, 48, yang akan menyambung keterangannya minggu depan, bahawa beliau tidak boleh membincangkan keterangannya dengan sesiapa kerana masih terikat dengan sumpah kepada mahkamah.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dikejutkan dengan dakwaan terdapat ancaman bom menyebabkan seluruh bangunan terpaksa dikosongkan bagi tujuan pemeriksaan pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shanmugamoorthy berkata anggota polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali mendakwa terdapat bom di dalam bangunan itu kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata setakat ini bangunan mahkamah adalah selamat setelah pemeriksaan awal pihaknya tidak menjumpai apa-apa ancaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS