Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri kabinet masih belum nampak pengakhirannya. Tidak ada kejelasan bagaimana kes ini akan diakhiri.

Selagi tidak diakhiri, selagi itulah ia menjadi api dalam sekam, duri dalam daging yang akan membakar dan merobek-robek PKR dan menjadi beban yang sangat besar pula buat Pakatan Harapan.

Apakah kes ini sememangnya dirancang supaya tiada pengakhiran yang segera? Apakah ada pihak berkepentingan yang sengaja membiarkan kes ini berterusan supaya mereka punya masa untuk membuat ‘deal’ di belakang tabir?

Apakah terdapat usaha tersusun untuk memperpanjangkan kes ini supaya ia terus berlarutan agar pihak-pihak yang berkonflik semakin tajam perpecahannya dan menjadi lemah?

Dan kalau kes ini berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas, siapakah yang mendapat untung daripadanya?

Persoalan-persoalan ini tentunya membawa kita kepada suatu istilah yang kerap digunakan sekarang apabila merujuk kepada kes video seks tersebut – konspirasi politik.

Istilah konspirasi merujuk kepada suatu bentuk pakatan, komplot atau persekongkolan antara dua orang atau lebih secara rahsia untuk melakukan tindakan-tindakan bagi mencapai tujuan yang telah dipersetujui bersama.

politik merujuk kepada kuasa yang membolehkan pemegang kuasa menentukan sumber-sumber bernilai dalam pelbagai bentuk diagihkan kepada siapa, bila dan bagaimana.

Justeru itu, konspirasi politik secara mudahnya adalah suatu komplot rahsia antara dua atau lebih orang untuk mendapatkan kuasa.

Mahathir pernah dituduh sebagai dalang konspirasi politik melibatkan Anwar

Memandangkan kuasa yang bakal diperoleh itu akan menentukan bagaimana sumber-sumber bernilai diurus dan diagihkan, maka konspirasi politik adalah suatu aktiviti lumrah dalam persaingan untuk mendapatkan kuasa di mana-mana negara di dunia.

Memandangkan ia suatu yang lumrah dan wujud sebagai sebahagian dari sifat yang terkandung dalam persaingan kuasa untuk merebut sumber, ia tidak dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah. Ia mungkin boleh dianggap sebagai kesalahan moral dan etika, tapi bukan kesalahan jenayah.

Dan dalam konteks negara kita Malaysia, tiada undang-undang yang menyatakan bahawa konspirasi politik itu suatu kesalahan jenayah.

Malahan perdana menteri kita sekarang, Dr Mahathir Mohamad pernah dituduh sebagai dalang kepada konspirasi politik kes pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri yang kemudiannya mencetuskan gerakan reformasi 1998 dahulu.

Jatuh-menjatuh, cantas-mencantas

Walaupun Mahathir pernah dituduh sebagai dalangnya tapi tiada undang-undang negara yang boleh menyabitkan beliau dengan kesalahan konspirasi politik.

Kalau hendak disabitkan dengan kesalahan, yang termaktub dalam undang-undang hanyalah kesalahan penyalahgunaan kuasa, misalnya mempengaruhi pihak polis untuk meneruskan atau tidak meneruskan tindakan yang sewajarnya.

Inilah yang terjadi kepada Anwar Ibrahim pada tahun-tahun reformasi 1998. Beliau dipenjarakan pada waktu itu bukan kerana liwat tetapi kerana penyalahgunaan kuasa, yakni beliau juga dituduh menggunakan kedudukan dan kuasanya sebagai timbalan perdana menteri ketika itu untuk mempengaruhi pihak polis bagi mengetepikan siasatan ke atas tuduhan liwat.

Justeru, berkonspirasi politik bukanlah suatu kesalahan jenayah. Kecuali kalau dapat dibuktikan seseorang itu menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk mempengaruhi institusi negara misalnya pihak polis, bagi mencapai matlamat politiknya.

Hanya setelah hal itu dibuktikan barulah boleh ia dikatakan kesalahan jenayah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa.

Justeru, kalau diteliti daripada kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri kabinet itu terdapat dua bentuk konspirasi politik yang diketengahkan kepada masyarakat awam.

Pejabat perdana menteri, gambar hiasan

Pertama, konspirasi untuk menjatuhkan menteri kabinet tersebut. Jatuh-menjatuh, cantas-mencantas adalah suatu tindakan politik yang lumrah dalam persaingan kuasa. Tiada apa-apa kesalahan jenayah dalam tindakan politik ini.

Yang menjadi kesalahan jenayah adalah kaedah yang digunakan, yakni menerbitkan dan mengedar kandungan lucah kepada masyarakat awam.

Kedua, konspirasi untuk menghalang seorang ahli parlimen yang telah dijanjikan dengan jawatan perdana menteri daripada mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga bukanlah kesalahan jenayah. Yang menjadi kesalahan jenayah dalam konteks konspirasi kedua ini, seperti mana konspirasi pertama ialah kaedahnya.

Apakah kaedah yang digunakan untuk menghalang ahli parlimen yang dijanjikan jawatan perdana menteri itu melibatkan penyalahgunaan kuasa?

Apakah kuasa yang dimiliki itu digunakan untuk mempengaruhi institusi negara, dalam kes ini pihak polis, agar ahli parlimen tersebut akhirnya diketepikan daripada menjawat jawatan Perdana Menteri?

Pada 12 Jun 2019 ketika ditanya wartawan tentang video seks tersebut Mahathir berkata:

I don’t think this thing is true. Because nowdays you can produce all kinds of pictures if you are clever enough.

Bebas daripada pengaruh Mahathir?

Dengan kata lain Mahathir berpandangan bahawa video tersebut adalah palsu dan dengan teknologi hari ini ia boleh dimanipulasikan.

Selanjutnya Tun Mahathir turut menyatakan:

This is cooked up by somebody who has a political agenda.

Ia membawa maksud video ini dibuat oleh seseorang yang punya agenda politik yang tertentu.

Kenyataan Mahathir ini dibuat sebelum pihak polis selesai menjalankan siasatan mereka. Kalau diteliti dari kenyataan Mahathir itu tumpuan beliau bukan kepada siapa pelaku aktiviti seksual tersebut tetapi kepada ketulenan video dan siapa dalang di belakangnya.

Abdul Hamid Bador 

Sama ada secara kebetulan atau tidak, pada 18 Julai 2019, setelah lebih kurang sebulan melakukan siasatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akhirnya mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyatakan bahawa kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi tetapi hasil pengecaman wajah adalah negatif.

Namun begitu beliau tidak pula memperincikan bagaimana keputusan negatif itu diperolehi.

Yang lebih memusykilkan lagi ialah apabila beredar berita bahawa pakar forensik imej digital dari sebuah syarikat di Indonesia pula memutuskan bahawa pengecaman wajah mereka yang didakwa melakukan aktiviti seksual itu adalah positif.

Selanjutnya Abdul Hamid turut menyatakan bahawa dalang yang terbabit dalam “pakatan jahat” menghasilkan video tersebut adalah seorang pemimpin sebuah parti politik.

Dikatakan juga pemimpin parti politik itu telah mengupah pihak tertentu dengan biaya ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan video seks itu.

Sekali lagi tiada perincian yang dihuraikan oleh beliau bagaimana penemuan ini diperolehi.

Membandingkan kenyataan Mahathir pada 12 Jun 2019 dan kenyataan daripada Abdul Hamid pada 18 Julai 2019 suatu persoalan timbul – apakah fokus ketua polis negara dipengaruhi oleh kenyataan Dr Mahathir selaku pemegang kuasa tertinggi pemerintahan negara?

Apakah Abdul Hamid bertindak bebas daripada pengaruh Dr Mahathir? Apakah Abdul Hamid Bahador benar-benar bertindak mengikut keluhuran undang-undang negara?

Jika Abdul Hamid Bahador benar-benar bebas dan dan mematuhi keluhuran undang-undang negara kenapakah fokus siasatan hanya tertumpu kepada mencari dalang semata-mata?

Kenapa siasatan untuk mencari dan membuktikan siapa pelakunya tidak diberi tumpuan yang sama penting? Konspirasi politik bukanlah kesalahan jenayah. Tapi menerbit dan mengedar bahan-bahan lucah adalah kesalahan jenayah.

Begitu juga dengan melakukan seks di luar tabii turut termaktub dalam Kanun Keseksaan perkara 377B sebagai suatu kesalahan jenayah.

Sehinggalah ahli parlimen kita membatalkan perkara tersebut, tidak dapat tidak ia masih tetap menjadi sebahagian daripada undang-undang negara.

Jadi persoalannya apakah Hamid Bahador benar-benar bebas dan bertindak mengikut undang-undang yang telah termaktub atau beliau dipengaruhi oleh kenyataan yang telah dibuat oleh Mahathir yang merupakan pemegang kuasa tertinggi pemerintahan negara?

Atau sebenarnya terdapat suatu konspirasi politik untuk memanjangkan kes video seks ini supaya tiada pengakhiran yang tuntas dan segera agar pihak yang bertelagah akhirnya lelah, berpecah dan menjadi lemah?

Seperti mana yang telah dihuraikan sebelumnya – konspirasi politik bukan suatu kesalahan jenayah. Tapi menyalahgunakan institusi negara, kedudukan dan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjayakan agenda politik diri sendiri atau diri proksi yang menaungi bukan sahaja suatu kesalahan jenayah tetapi juga suatu kesalahan moral dan etika.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS