Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Sebidang tanah seluas 77 ekar milik Koperasi Pekerja Jaya (KPJ) - sebuah koperasi berkaitan MIC - dikaveat selepas ia didakwa tidak digunakan untuk tujuan asalnya.

Menurut beberapa dokumen yang dipanjangkan kepada Malaysiakini, tanah itu diserahkan kepada KPJ oleh kerajaan Perak pada 1999.

Asalnya ia dirancang untuk menjadi tapak pembinaan projek perumahan bagi menyediakan kediaman buat masyarakat India miskin dan sederhana miskin di sekitar Sungai Siput.

Selepas terbiar selama 20 tahun, tanah tersebut dicadang untuk dibina kawasan petempatan dan majlis pecah tanah diadakan pada Feb lalu.

Projek dinamakan sebagai Taman Tasik Saujana itu mempunyao beberapa fasa dengan yang pertama membabitkan 69 unit rumah teras dan 20 unit rumah teras bertingkat.

Tanah tersebut juga sudah dibahagikan kepada 400 lot.

Pada 5 Julai lalu bekas ketua MIC Sungai Siput, M Lokanathan mengemukakan kaveat terhadap 50 daripada 89 unit rumah yang sudah ditempah pembeli.

Dihubungi kemudian, Lokanathan mengesahkan bahawa dia mengemukakan kaveat pada sebahagian daripada tanah tersebut.

"Ini baru langkah pertama. Saya akan kaveat lagi sebanyak mungkin.

"Saya mengambil langkah tersebut kerana ia disalahgunakan, tidak memenuhi tujuan asal," katanya.

Untuk rekod kaveat ialah tindakan seseorang yang mempunyai hak ke atas sesuatu tanah melarang sebarang tindakan dilakukan ke atas aset tersebut.

Dengan adanya kaveat, tiada sebarang urusan boleh dilakukan termasuk menggadai, memindah milik, menyewakan atau menjualnya kepada pihak lain.

Lokanathan berkata dia akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan isu berkenaan dengan lebih lanjut pada masa terdekat.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi KPJ bagi mendapatkan ulasan.

KPJ merupakan koperasi yang diasaskan bekas Presiden MIC S Samy Vellu dan beliau mengetuai koperasi tersebut selama 41 tahun.

Pada tahun ini, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan menggantikan Samy Vellu sebagai pengerusi KPJ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS