Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Brunei antara tetamu kenamaan ke istiadat pertabalan Agong
Diterbitkan:  Jul 24, 2019 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah adalah antara tiga tetamu kenamaan diraja yang akan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata dua tetamu diraja lain yang telah mengesahkan kehadiran ialah Putera Mahkota Jordan, Ali Al-Hussein; dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.

Bagi mempersila Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri, Mujahid berkata satu rombongan telah pergi ke semua negeri bagi mempersembahkan warkah persilaan bertulisan jawi dengan menggunakan kertas yang diperbuat daripada kulit kambing.

“Semua yang telah kita silakan untuk hadir telahpun memberi jawapan dan akan hadir ke upacara yang bersejarah ini,” kata beliau selaku pengerusi jawatankuasa khas istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Mujahid berkata sebanyak 80 peratus persiapan sudah dilakukan bagi menyambut hari bersejarah itu dan selebihnya "hanya nak tengok last minit rehearsal yang mana raptai ini akan diadakan dua ke tiga kali."

Mujahid berkata sebanyak enam acara utama disusun atur sempena Istiadat Pertabalan itu yang bermula Khamis ini dengan majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Acara kemuncak ialah Istiadat Pertabalan yang akan diadakan pada Selasa depan di Balairung Seri Istana Negara dan diikuti Majlis Santapan Diraja keesokan harinya di Dewan Santapan Utama Istana Negara.

“Dijangka seramai 700 orang tetamu akan hadir,” katanya, dan mereka terdiri daripada Raja-raja, Yang di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, jemaah menteri, duta-duta, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“Setiap hari kami menerima perkembangan terkini yang menjawab untuk hadir supaya kami boleh buat persiapan terbaik untuk anggaran kehadiran,” katanya.

Acara lain yang disusun ialah Lawatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Hospital Rehabilitasi Cheras (1 Ogos), Pameran Raja Kita di Muzium Diraja (5 Ogos hingga 5 November) serta khutbah khas dan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada 2 Ogos.

"Kerajaan amat berharap seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama menghayati istiadat ini kerana ia merupakan manifestasi untuk lebih memahami dan menghormati institusi raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong khususnya,” katanya.

Mujahid berkata institusi Yang di-Pertuan Agong perlu dijadikan payung kedaulatan negara, tidak sekadar simbol perpaduan malah lebih daripada itu sebagai lambang kestabilan dan kemegahan negara.

“Kerajaan juga telah mengisytiharkan bahawa tarikh 30 Julai depan adalah hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara. Jadi inilah masanya untuk semua rakyat menyaksikan istiadat ini secara langsung di kaca televisyen masing-masing,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS