Hari yang dinanti-natikan sudah tiba apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan logo baru kempen Melawat Malaysia (VM) 2020.
Ia bagi menggantikan logo lama VM 2020 yang mendapat kecaman daripada netizen kerana reka bentuk yang dianggap tidak menarik.
Logo lama seperti setem itu memaparkan imej Menara KLCC; Orang Utan; monyet bercermin mata dan penyu memakai cermin mata hitam, dan dilancarkan tahun lalu.
Ia dikecam apabila rata-rata menyifatkannya sebagai tidak berkualiti.
Bagaimanapun Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika itu Mohamed Nazri Aziz mempertahankan rekaan yang menurutnya dihasilkan oleh kakitangan kementerian yang diterajuinya tanpa sebarang bayaran.
Bernama hari ini melaporkan Logo baru VM 2020 menampilkan beberapa ciri yang sinonim dengan Malaysia seperti burung kenyalang, bunga raya, pakis liar dan warna-warna jalur gemilang.
Ciptaan Alfred Phua Hong Fook, pereka grafik berusia 23 tahun dari Melaka, logo itu melambangkan kepelbagaian budaya, warisan, flora dan fauna Malaysia di samping pengalaman yang ditawarkan sebagai sebuah destinasi percutian.
Logo itu dipilih daripada beratus-ratus penyertaan diterima dari seluruh negara semasa tempoh pertandingan awal tahun ini.
Tahun depan kerajaan menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong luar dengan jangkaan hasil berjumlah RM100 bilion.
Untuk rekod, Malaysia tahun lalu menerima kedatangan 25.8 pelancong luar negara.
Kerajaan juga mengadakan usahasama dengan pihak swasta, antaranya dengan Malaysia Airlines dan AirAsia, bagi kegiatan pemasaran serta memperuntukkan dana khas Galakan Melancong Malaysia (Gamelan) berjumlah RM5 juta bagi membantu pengusaha yang terlibat dalam industri pelancongan.