Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari mendakwa dalang di sebalik penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali itu kini semakin jelas, ketika siasatan hampir selesai.
"Akhirnya sekarang makin hari makin waktu, makin saat, kita dapat melihat semakin hampir dan semakin hampir ia (video seks) dilakukan oleh mereka yang pernah melalui detik sejarah hitam ini, yang pernah berjuang melalui detik sejarah hitam ini dan melawan detik sejarah hitam ini.
“Malahan menjadi asas perjuangan ini, katanya.
Amirudin berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran terhadap Mohamed Azmin di kediaman rasminya di Shah Alam, malam tadi.
Terdahulu, Amiruddin yang juga ketua PKR Selangor mendakwa PKR kini kembali dihantui oleh "hantu" yang menghantui parti itu sejak dua dekad lalu.
Bagaimanapun, Amirudin tidak menamakan siapa hantu yang dimaksudkan.
Namun ia dipercayai merujuk kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang terbabit dalam tuduhan liwat sebelum ini.
"Saya masih ingat seawal isu ini keluar sebaik kita raikan Aidilfitri, tiba-tiba berlaku satu perkara yang kita tak jangkakan, satu perkara yang telah diam khususnya harapan besar rakyat dan masyarakat Malaysia.
"Setelah PRU 14 kita jangkakan bahawa hal (politik kotor) sedemikian akan hilang dan tidak akan muncul lagi, pun begitu agak malang dan dukacita ada mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab, yang tidak sedar diri, yang tidak mahu belajar daripada sejarah.
“Kalau tidak takut dengan Tuhan pun mungkin mereka tidak belajar dari sejarah bahawa politik sedemikian rupa dengan mengaibkan, menfitnah dengan pelbagai cerita dan fitnah direka cipta dengan harapan akan menguburkan maruah serta harapan dikalangan rakyat," katanya.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR ketika berucap pada majlis yang sama turut menegaskan bahawa beliau tahu individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.
Azmin sebelum ini menafikan beliau individu dalam video berkenaan, malah mendakwa ia perancangan dari dalam PKR sendiri untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu berkata klip video seks yang menjadi kontroversi itu dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.
Hamid berkata siasatan mereka juga mendedahkan wujud "pakatan jahat" yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan individu tertentu.
Khamis lalu, Hamid mengesahkan klip video itu sebagai tulen berdasarkan analisis Cybersecurity Malaysia, namun proses pengecaman wajah adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".
Azmin dituduh merupakan salah seorang individu yang dipaparkan dalam klip video seks sejenis itu. Tuduhan itu dilontarkan oleh bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Hazir Abdullah Abdul Aziz.
Haziq mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video itu, sementara Azmin menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah "plot jahat" dari dalam parti untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.
Polis sehingga kini telah menahan beberapa individu, termasuk setiausaha politik Anwar.