Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Syabas: Loji rawatan air kembali beroperasi jam 3 pagi
Diterbitkan:  Jul 22, 2019 8:42 AM
Dikemaskini: 12:48 AM

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang telah kembali beroperasi pada jam 3.30 pagi tadi.

Ini susulan penutupan empat loji rawatan air utama berikutan pencemaran minyak diesel yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) dan LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Ketua Jabatan Perhubungan Syabas, Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya masih dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

"Bantuan lori - lori tangki digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

"Memandangkan insiden ini melibatkan gangguan berskala besar, mohon kerjasama pelanggan untuk mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili - pili awam bagi mengelakkan kelewatan penghantaran bantuan lori tangki air," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya Syabas dengan bantuan agensi - agensi yang berkaitan sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat.

"Bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan kami ekoran kemasukkan panggilan yang tinggi , sila dapatkan maklumat dan status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor, laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS