Bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, berkata kerajaan perlu menyediakan dana kepada pemantau pemilihan pilihan raya untuk aktiviti pemantauan.
"Mereka melakukan banyak kerja di lapangan untuk memantau pilihan raya.
"Pandangan saya sendiri adalah, sudah tiba masanya kerajaan membiayai Bersih, bukan sepenuhnya, tapi sewajarnya," katanya dalam ucapan semasa makan malam pengumpulan dana Bersih di Petaling Jaya malam tadi.
Ambiga, yang juga bekas presiden Persatuan Peguam Malaysia, berkata Majlis Peguam pernah menerima pembiayaan daripada kerajaan namun masih mengkritik kerajaan.
"Jadi (pemberian dana itu) mestilah tidak mempunyai tuntutan, kerana jenis kerja yang mereka lakukan ... ada banyak pekerjaan yang harus dilakukan.
"Jadi, saya ingin melihat kerajaan ini, walaupun dengan kritikan Bersih, mengatakan bahawa kerajaan akan memberi pembiayaan supaya mereka boleh menjalankan kerja yang sangat penting," katanya.
Sebagai contoh, kata Ambiga, Bersih akan memantau pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.
Pilihan raya negeri Sarawak kemungkinan akan diadakan tahun depan, paling lewat 2021.
Ambiga juga bercakap mengenai kemungkinan persempadanan semula, dengan mengatakan bahawa dia berharap perlembagaan akan membenarkan persempadanan semula dengan mengambil kira penambahan mendadak jumlah pengundi disebabkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan juga pendaftaran pengundi automatik.
"Saya berharap ada sesuatu dalam perlembagaan yang mengatakan jika anda mempunyai keadaan yang di luar kebiasaan seperti itu, anda boleh buat persempadanan semula.
"(Tetapi) tidak ada. Perlembagaan tidak mempunyai peruntukan untuk pengurangan umur pengundi, tetapi jika terdapat penambahan kerusi di parlimen, itu mungkin," katanya.
Rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur minimum pengundi kepada 18 tahun serta pendaftaran pengundi automatik telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa lepas dengan sejumlah 211 undi.
Persempadanan semula yang terakhir dilakukan pada tahun 2017, semasa pentadbiran BN dan Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa persempadanan semula hanya boleh dilaksanakan sekali setiap lapan tahun.
Dalam isu berasingan, Ambiga juga berkata dia mahu dapat berdiri di Dataran Merdeka dengan memakai baju kuning Bersih, sesuatu yang menurutnya tidak pernah dia lakukan.
"Satu perkara yang mereka tidak pernah benarkan dilakukan oleh Bersih selama ini adalah tidak membenarkan memakai baju kuning itu dan berdiri di Dataran Merdeka.
"Saya ingin melihat Bersih melakukannya. Kita perlu menuntut semula kawasan itu. Itulah isyarat simbolik.
"Saya mahu berdiri di Dataran Merdeka dengan baju Bersih saya," katanya.
Walaupun Bersih telah mengadakan beberapa demonstrasi dan protes berhampiran Dataran Merdeka, pihak berkuasa sentiasa memasang penghadang untuk menghalang peserta masuk dalam kawasan padang di Dataran Merdeka.