Adun Kota Anggerik dari PKR, Najwan Halimi menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan konspirator dalam skandal video seks yang didakwa membabitkan timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.
"Ini tidak berasas, ini adalah permainan minda di media sosial yang bertujuan untuk mengancam parti dan mewujudkan perpecahan," katanya kepada Malaysiakini ketika menghadiri temu rapat (retreat) parti itu di Port Dickson malam tadi.
Najwan dikatakan sebagai salah perancang dalam skandal video seks berkenaan berikutan penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Rabu lalu.
Ini selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dipetik oleh Bernama sehari sebelumnya mengatakan seorang Adun Selangor juga disiasat polis berhubung kes itu.
Hamid juga dilapor berkata pemimpin dari sebuah parti politik merupakan dalang di sebalik "komplot jahat" untuk merosakkan reputasi Azmin.
Najwan sebelum ini bersama kem Azmin dalam PKR, tetapi berpecah dan bertanding sebagai "kuasa ketiga" pada pemilihan Pemuda PKR (AMK) tahun lepas.
Semasa pemilihan itu, pemimpin berusia 34 tahun itu disokong oleh ketua AMK Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz - individu yang mendakwa sebagai lelaki dalam video seks yang dikaitkan dengan Azmin.
Najwan berkata skandal seks yang didakwa membabitkan menteri hal ehwal ekonomi itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan pemilihan parti.
"Sesiapa saja boleh sokong sesiapa saja, dan apa yang berlaku sekarang tidak harus dikaitkan dengan kempen pemilihan parti," katanya.
Beliau menambah PKR mesti bergerak ke hadapan dengan menolak politik kotor dan memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Polis sebelum ini menahan lapan orang berhubung penyebaran video tersebut, termasuk Haziq dan Farhash.
Pihak polis juga mengesahkan video tersebut adalah tulen namun proses pengecaman wajah gagal mengesahkan Azmin adalah salah seorang daripada dua individu dalam rakaman berkenaan.