Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan dipukul: Wan Ji lapor polis, hantar memorandum pada Suhakam

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan polis berhubung dakwaan dipukul ketika ditahan di Penjara Kajang.

Wan Ji bersama Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy tiba di pejabat Suhakam kira-kira pukul 10 pagi tadi bagi menghantar memorandum untuk meminta suruhanjaya menyiasat dakwaan itu.

Menurut Wan Ji, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis selepas Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menggesanya untuk berbuat demikian.

Beliau berkata pada mulanya enggan membuat laporan memandangkan pegawai Jabatan Penjara telah bertemu dan berjanji untuk membuat siasatan.

"Tetapi jika Suhakam dan polis boleh menyiasat kes ini, ia boleh dibangkitkan kepada orang ramai, bukan hanya (sebagai) siasatan dalaman," katanya.

Bagaimanapun Wan Ji menegaskan tujuannya membuat laporan bukanlah untuk menghukum warden yang didakwa memukulnya, tetapi untuk menghalang kejadian sama berulang.

"Saya tekankan tujuan laporan ini agar kejadian sama tak berulang kepada orang lain.

"Saya pun simpati kepada orang yang pukul saya. Macam saya cakap sebelum ini, jangan sampai dia dibuang kerja sebab dia mungkin ada anak dan isteri.

"Susah kalau kena buang kerja...Mungkin (memadai) jika dikenakan tindakan tatatertib atau amaran," katanya.

Wan Ji sebelum ini mendakwa beliau dipukul individu bertopeng yang memakai pakaian warden pada hari pertama beliau menjalani hukuman penjara.

Beliau pada mulanya dihukum penjara selama sembilan bulan atas kesalahan bawah Akta Hasutan berhubung satu hantaran Facebook berkenaan Sultan Selangor.

Namun hukuman itu ditingkatkan kepada setahun pada 8 Julai lalu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan balas pendakwaan.

Rayuan itu dibuat pada 9 April 2018, sebelum PH - yang berjanji memansuhkan akta itu - menjadi kerajaan.

Wan Ji dibebaskan pada 12 Julai lalu selepas mahkamah membenarkan rayuan penangguhan oleh peguamnya.

'Ini bukan masalah individu'

Pesuruhjaya Suhakam Medaline Berma setuju dengwan Wan Ji dan berkata: "Pertamanya, penjawat tidak boleh berbuat demikian, kita ada prosedur operasi standard (SOP).

"Ini bukan isu individu tetapi semua terlibat sebenarnya, ada yang ketawa dan membiarkan kejadian ini berlaku.

"Ini yang kita nak halang. Jangan kita nanti kenal pasti pelaku terus buang kerja, sementara orang lain teruskan (perkara sama)," katanya.

Beliau mendakwa ini bukan kali pertama perkara itu berlaku tetapi mangsa tiada suara untuk membangkitkannya.

"Hanya orang seperti (Wan Ji) sebab ada nama dan kenal pemimpin...Jika kita masih tidak berbuat apaa-apa, ia akan berterusan," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS