Sehari selepas dilaporkan bercerai talak tiga, bekas ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko terus berkongsi detik-detik indahnya bersama Sultan Muhammad V.
Video berkenaan disiarkan di laman sosial Instagramnya tengah malam tadi, yang memaparkan temu bual Rihana bersama Sultan Kelantan dalam suasana romantis.
Selepas 12 jam, video berkenaan telah ditonton kira-kira lebih 240,000 kali oleh pengguna media sosial.
Dalam temu bual itu Rihana menceritakan keperibadian Sultan Muhammad V yang begitu mengambil berat terhadap dirinya dan keluarga.
"Saya mahu menjadi wanita terakhir dalam hidup baginda," kata Rihana dalam temu bual berkenaan.
Menariknya, video berkenaan turut disulami dengan alunan muzik yang romantik dan diselitkan dengan aksi manja Rihana bersama Sultan Muhammad V.
Selain itu, video itu juga turut memaparkan Rihana dan Sultan Muhammad V menari bersama.
Pada akhir video itu menunjukkan unggun api bagai melambangkan kehangatan cinta mereka.
Dalam temu bual itu juga, Sultan Muhammad V menyatakan keutamaannya terhadap anak adalah perkara utama.
Kisah rumah tangga pasangan diraja ini mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila Sultan Muhammad V dilaporkan sudah bercerai dengan wanita warga Rusia itu.
Memetik sumber, New Straits Times semalam mengesahkan penceraian itu dimuktamadkan pada 1 Julai lalu, susulan pemfailan cerai di Mahkamah Syariah Singapura pada 22 Julai.
Istana Kelantan setakat ini masih berdiam diri berkaitan status mereka tetapi sudah mengeluarlan penegasan bahawa tiada pihak boleh digelar permaisuri Kelantan, raja perempuan Kelantan, sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi.
Malaysiakini telah beberapa kali menghubungi pihak istana bagi mendapatkan pengesahan tetapi gagal mendapat sebarang jawapan.