Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) percaya pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik tidak akan gagal.

Pengerusinya Azhar Harun menjangkakan pelaksanaan usaha tersebut akan dapat dilaksanakan sekitar pertengahan 2021.

Kata Azhar, meskipun pihaknya mengakui akan timbul cabaran besar, tetapi dengan sokongan 100 peratus parlimen, pembangkang, kerajaan dan rakyat maka ia akan mampu dihadapi.

"Buat masa ini, tarikh kuat kuasa perlu ditentukan tetapi untuk menentukannya, SPR perlu bertemu dengan semua pemegang taruh namun dalam. Masa sama, SPR akan terus memaklumkan perkembangan kepada semua pihak.

"Melalui usaha itu, kita sudah boleh tentukan tarikh kuat kuasa yang berpatutan dan apabila sudah mendapat persetujuan semua termasuk parlimen maka kita akan wartakan, jangkaan awal pelaksanaannya adalah sekurang-kurangnya setahun setengah.

"Apabila ia dilaksanakan kelak, jika pilihan raya umum (PRU) berlangsung pada tahun 2023, akan ada 22.5 juta pengundi berbanding 14.9 juta bagi PRU tahun lalu.

"Berdasarkan rekod, kita ada hampir empat juta orang tidak berdaftar bagi usia 21 tahun ke atas manakala 18 tahun pula, sekarang ada 1.5 juta orang dan pertambahan dijangka 500,000 orang setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Turut menjadi panel ialah Ahli Parlimen Paya Besar dari BN, Mohd Shahar Abdullah dan ADUN Ketari dari PH, Young Syefura Othman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS