Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

KES NAJIB | Perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa terhadap anggota parlimen Pekan, Najib Razak, memasuki hari ke-40 hari ini.

Ia diadakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan berkenaan di sini.

LANGSUNG

3.35 petang: Perbicaraan ditangguh lebih awal hari ini selepas selesai pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh dengan saksi ke-51 Fauziah Yaakob, bekas Ketua Setiausaha (Pelaburan) Perbendaharaan.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya DPP Sithambaram berkata saksi mereka yang seterusnya akan mengambil lebih masa, justeru mencadangkan ia dimulakan ketika perbicaraan bersambung Isnin ini.

Mahkamah kemudian mendengar dua perkara berbangkit berkaitan perbicaraan SRC International, termasuk isu yang dibangkitkan Peguam Negara Tommy Thomas berkenaan hantaran Facebook Najib Razak dan isu tindakan SPRM manghalang Najib daripada mendapat maklumat perbankannya daripada AmBank.

Berkenaan hantaran Facebook Najib, yang disifatkan Thomas sebagai sub judice (mempengaruhi prosiding mahkamah), Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah untuk memberi hujahan penuh pada Isnin ini.

Hakim bagaimanapun berkata hanya memberi masa sejam untuk penghujahan, kerana mahu kembali fokus kepada perbicaraan utama.

Berkenaan isu kedua, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa perkara itu telah selesai selepas dokumen perbankan yang dimahukan pihak pembelaan telah diberikan kepada mereka.

Namun Harvinderjit tidak setuju dengan hujah itu. Dia berkata isu sebenar ialah sama ada SPRM ada kuasa mengarahkan AmBank untuk tidak memberikan apa-apa maklumat kepada anak guamnya.

Pihak pendakwaan kemudian menafikan usaha Harvinderjit untuk membincangkan perkara itu dengan mahkamah, dengan berkata ia bukan di bawah bidang kuasa mahkamah.

Isu itu dijangka turut dibangkitkan pada Isnin ini. Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan.

3.20 petang: Bekas Ketua Setiausaha (Pelaburan) Perbendaharaan, Fauziah Yaakob, berkata bahagian yang menyelia syarikat kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pernah cuba mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pengurusan SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, katanya, cubaan tersebut tidak mendapat tindakan balas yang positif.

Menurut Fauziah, cubaan itu dibuat sejak beliau dilantik ke jawatan tersebut pada Nov 2012 sehingga bersara pada Julai 2015.

Fauziah memberi keterangan semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Pegawai puan buat follow up (susulan) dengan SRC, puan tau tak?

Fauziah: Pegawai-pegawai saya memaklumkan, mereka ada hantar e-mel untuk mengatur mesyuarat tetapi tak ada respon positif daripada syarikat tersebut.

Harvinderjit: Dituju kepada siapa e-mel tersebut?

Fauziah: Kepada pegawai yang menjaga SRC. Saya tak pasti CEO (ketua pegawai eksekutif) atau pengerusi. (Tapi) biasanya pada CEO-lah.


3.15 petang: Ketua Setiausaha (Pelaburan) Perbendaharaan, Fauziah Yaakob, berkata Kementerian Kewangan (MOF) bercadang untuk melantik wakil mereka sebagai anggota Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC) pada 2015.

Katanya cadangan itu dibuat berdasarkan kepada kedudukan MOF yang tidak jelas dengan bidang perniagaan syarikat berkenaan.

Satu lagi alasan, kata saksi ke-51 pendakwaan tersebut - ialah SRC menjadi antara syarikat kerajaan yang selalu lewat menyerahkan laporan kewangan kepada MOF.

Menurut Fauziah - yang bersara pada 29 Julai 2015 - alasan itu dinyatakan dalam memorandum sokongan dikemukakan Menteri Kewangan Kedua (ketika itu) Ahmad Husni Hanadzlah.

Melalui memorandum berkenaan, katanya, MOF mencadangkan Mohd Isa Hussain menyertai lembaga pengarah SRC.

Mohd Isa ialah timbalan kepada Fauziah ketika kejadian.


3.02 petang: Hakim petang ini mengingatkan Najib bekas perdana menteri itu berdepan dengan tindakan menghina mahkamah jika tidak berhati-hati dengan hantarannya di media sosial.

Memberikan amaran keras untuk itu, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, sebarang hantaran umum yang dibuat Najib akan berdepan dengan tindakan.

Pesanan itu diberikan hakim selepas beliau menetapkan Isnin depan untuk mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang menuntut Najib memohon maaf.

Pagi tadi Thomas mengemukakan permohonan kepada hakim agar mengarahkan Najib meminta maaf tanpa syarat selepas memberikan komen mengenai perbicaraannya di Facebook.

Najib sebelum ini menulis mengenai isu perbelanjaan - bernilai RM3 juta - menggunakan kad kredit yang dikaitkan dengan pengerusi Lembaga Penasihat BN itu.

Ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian meminta hakim menetapkan Isnin depan sebagai tarikh mendengar hujah kerana beliau memerlukan masa berbincang dengan anak guamnya bagi menyediakan pembelaan.


2.40 petang: Perbicaraan bersambung semula.


1 petang: Mahkamah berehat.


12.55 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan memberitahu mahkamah, pasukan pendakwaan perlu hadir di depan seorang lagi hakim, Collin Lawrence Sequerah, di mahkamah berhampiran pada jam 2 petang.

Proses itu adalah bagi mendengar keputusan hakim terbabit mengenai permohonan menangguhkan satu lagi perbicaraan membabitkan Najib.

Peguam bela, Harvinderjit Singh, kemudian meminta Mohd Nazlan menyambung semula perbicaraan hari ini kepada 2.45 petang berbanding 2 petang seperti hari-hari lalu.

Mohd Nazlan membenarkan permohonan tersebut. 


12.43 tengah hari: Hakim membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan dokumen berkaitan saman dikemukakan Najib Razak terhadap bekas presiden MCA, Ling Liong Sik.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan, sekali gus menolak bantahan peguam bela, Harvinderjit Singh, yang berhujah, kertas berkenaan tidak berkaitan untuk dikemukakan dalam perbicaraan jenayah.

Seorang lagi timbalan pendakwa raya, V Sithambaram, menambah dokumen tersebut mempunyai kaitan dengan kes yang dibicarakan sekarang.

Pada Mei tahun lalu, Najib dilaporkan menarik balik samannya terhadap Ling selepas dia didakwa menyalahgunakan dana kerajaan.


11.10 pagi: Ahli perniagaan yang diburu polis dari banyak negara, Jho Low, digambarkan sebagai orang yang tidak boleh dipercayai oleh saksi pendakwaan, Cheah Tek Kuang.

Menyambung keterangannya hari ini Cheah berkata dia tidak pernah mempercayai Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

Menjawab soalan Harvinderjit Singh, Cheah berkata dia "meluat" kepada Jho Low dan bersetuju dengan saranan peguam bela terbabit bahawa lelaki itu boleh digambarkan sebagai penipu.

Kenyataan Cheah itu dibuat ketika dia ditanya mengenai siri sembang - melalui Messenger Blackberry - di antara Pengurus Perhubunan Awam Ambank Group, Joanna Yu - dengan seseorang dipercayai Jho Low.

Harvinder bertanya kepada Cheah mengenai salah satu perbualan berkenaan yang melibatkan soalan kepada Yu bahawa dia (Jho Low) ada bercakap dengan Cheah mengenai sesuatu dan memaklumkan isu yang dibangkitkan mereka akan dirujuk kepada Pengerusi Ambank Group, Azman Hashim.

"Apa yang dia (Yu) cakap kepada Jho Low, saya tak tahu. Saya tak bercakap dengan Jho Low.

"Dan saya boleh beritahu kamu apa jenis orang itu. Dia ialah orang yang tak pernah menepati masa.

"Kalau temu janji dibuat pada 1 petang, dia akan datang pada jam 1.30 petang," kata Cheah.

Harvinderjit: Adakah kamu akan memanggilnya seorang penipu?

Cheah: Penipulah. Saya tak suka dia. Saya meluat pada dia. Tak boleh dekat dengan orang yang begitu.


11 pagi: Bekas pengarah urusan Ambank Group, Cheah Tek Kuang, berkata dia berjumpa Zeti Akhtar Aziz - yang menjadi gabenor Bank Negara ketika itu - pada 2013 atau 2014 kerana menemani penggantinya, Ashok Ramamurthy.

Kata Cheah, Ashok mahu berjumpa dengan Zeti bagi membincangkan isu akaun-akaun Najib di Ambank.

Kata Cheah, dia hadir hanya kerana menemani Ashok dan disebabkan biasa dengan Zeti.

"Kisah di sebaliknya, ada permohonan khas untuk saya pergi bersama Ashok keraja Ashok tidak biasa berurusan dengan gabenor.

"Saya tak ada kaitan denganya," kata Cheah yang memberi keterangan semasa disoal peguam bela Harvinderjit Singh.


10.50 pagi: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif Ambank, Cheah Tek Kuang, memaklumkan dia mengetahui Najib mengembalikan "wang derma" AS$620 juta kepada pemberinya pada 2013.

Kata Cheah dia mengetahui hal itu kerana Joanna Yu - pengurus perhubungan awam Ambak ketika itu - menghubunginya dan mendapatkan bantuan agar proses kelulusan segera dapat diberikan.

Cheah yang memberi keterangan dalam sesi soal balas peguam bela Harvinderjit Singh bagaimanapun menafikan dia menerima sepucuk surat daripada Najib yang memaklumkan niatnya mahu memulangkan wang tersebut.


10.29 pagi: Apabila hakim menyambung semula perbicaraan, peguam Harvinderjit Singh meminta mereka diberikan lebih masa untuk membolehkan perbicangan diadakan dengan ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, dibuat.

Kata Harvinderjit, Shafee tidak ada dalam mahkamah berkenaan kerana menghadiri perbicaraan di mahkamah lain.

Hakim kemudian membenarkan permohonan Harvinderjit, sebelum mengarahkan proses menyoal balas saksi, Cheah Tek Kuang, disambung selepas ditangguhkan semalam.

Cheah ialah bekas pengarah urusan Ambank.


10.20 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas meminta mahkamah agar mengarahkan Najib Razak mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat berhubung hantaran di Facebooknya mengenai isu perbelanjaan kad kredit sebanyak lenbih RM3 juta.

Kata Thomas, tindakan Najib boleh membawa kepada subjudis dan sebagai tertuduh, bekas perdana menteri itu perlu dilayan sama seperti orang lain.

"Kami mahukan permohonan maaf yang penuh dan tanpa syarat daripada tertuduh mengenai apa yang sudah dilakukannya, dan jaminan tidak akan mengulanginya," kata Thomas.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

 

Peguam Harvinderjit Singh kemudian memohon kepada hakim agar perbicaraan ditangguhkan sementara bagi membolehkan pihaknya mendapatkan arahan daripada Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan permohonan Garvidnerjit.


9.47 pagi: Tertuduh, Najib Razak, memasuki mahkamah dan mengambil tempat.

Sebelum itu beliau serta peguam belanya menghadiri pendengaran di mahkamah lain, di depan hakim Collin Lawrence Sequerah membabitkan perbicaraan berkaitan dana 1MDB sebanyakRM2.28 bilion.

Ia sepatutnya bermula pada 19 Ogos namun ketika itu kemungkinan besar perbicaraan Najib yang sedang berlangsung sekarang belum tamat.


Walaupun belum ditemui, nama ahli perniagaan yang menjadi buruan polis, Jho Low, mungkin mewarnai perbicaraan kes Najib Razak yang memasuki hari ke-40 hari ini.

Semalam bekas Pengarah Urusan Ambank, Cheah Tek Kuang, memberitahu mahkamah, dia diiringi oleh Jho Low ke rumah Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada pertengahan Jan 2011.

Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh - dan kemungkinan selepas itu Muhammad Shafee Abdullah - dipercayai bakal menyoal balas Cheah mengenai kehadiran, peranan dan pertalian saksi ke-50 pendakwaan itu dengan Jho Low.

Ia menjadi salah satu faktor utama pasukan pembelaan Najib yang akan mempersoalkan isu berkenaan, berdasarkan kepada kecenderungan mereka memeriksa balas saksi-saksi terdahulu.

Perbicaraan hari ini - yang diadakan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali - bermula agak lewat sedikit kerana peguam Najib perlu menghadiri prosiding di satu lagi mahkamah tinggi yang dikendalikan Collin Lawrence Sequerah.

Ia membabitkan permohonan peguam bela Najib untuk menangguhkan perbicaraan bekas perdana menteri itu dalam kes 1MDB - yang ditetapkan bermula 19 Ogos ini.

Permohonan berkenaan dibuat bagi mengelakkan ia bertembung dengan kes yang sedang berlangsung - membabitkan kes SRC International Sdn Bhd - sekarang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS