Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Ji cerita pengalaman 'berdebat' dalam penjara
Diterbitkan:  Jul 15, 2019 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin menceritakan pengalaman "berdebat" dengan pegawai penjara ketika di dalam tahanan.

Menceritakan pengalamanya, Wan Ji berkata ada pegawai penjara bertanyakan pekerjaan yang dilakukannya kini sebagai penyelidik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) selepas tidak lagi menjadi penjawat awam.

Katanya, pegawai penjara itu bersyarah kepadanya mengenai beberapa isu semasa sehinggalah menyentuh kepada isu larangan mendampingi pemerintah.

"Cuma, tidak pasal-pasal, dia ada cakap bahawa elok sangat saya berhenti dari (menjadi) pegawai kerajaan. Dia nyatakan lagi, bahawa dalam al-Quran, Allah melarang orang berilmu berdampingan dengan pemerintah.

"Apabila dia sebut bahawa al-Quran ada menyebut begitu, sudah pasti ini amat bahaya pada agama. Makanya saya berkata, apa yang tuan cakap ini, sebenarnya tidak ada dalam al-Quran," tulis Wan Ji di Facebooknya.

Untuk rekod, jawatan penjawat awam yang dimaksudkan adalah sebagai pegawai penerangan kepada Lim Guan Eng yang ketika itu ketua menteri Pulau Pinang yang pernah dipegang Wan Ji pada 2017.

Bercerita lanjut, Wan Ji berkata pegawai penjara berkenaan terus mempertahankan pendangan dan mendakwa larangan itu terkandung dalam al-Quran.

"Lepas tu, dia pertahan juga apa yang dia cakap. Memandangkan ketika itu dia ada kuasa, dan cara dia bercakap pun seakan-akan mahu mengangkat suara, maka saya diamkan diri," tambahnya lagi.

Pada 9 Jul, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Selepas dua hari menjalani hukuman penjara, hukuman penjara Wan Ji ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan yang difailkan peguamnya.

Dalam tulisan yang berasingan di Facebooknya, Wan Ji juga turut menceritakan pengalamannya menyanggah pendapat warden penjara berhubung mandi ketika subuh.

Jelasnya, kejadian itu berlaku pada hari pertama di penjara, apabila warden penjara bertanya kepadanya sama ada dia mandi pada waktu subuh.

Lalu, Wan Ji memaklumkan yang dia tidak mandi waktu subuh, lantas bwarden berkenaan mendakwa mandi pada masa berkenaan adalah sunnah Nabi Muhammad.

"Aku cakap kat dia, dakwaan mandi subuh itu sunnah, itu tidak ada sandaran, tak ada hadis.

"Dia ulang lagi, mandi subuh itu sunnah. Aku ulang lagi, 'tak ada dalam hadis'. Dia ulang lagi dengan nada marah-marah.

"Bila aku tengok dia dah marah-marah, aku diam je. Hati aku bercakap, tak guna berpencak lidah dengan orang yang tidak tahu, tetapi berlagak tahu, dan keras hati tidak mahu menerima realiti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS