Paling Popular
Terkini

KES NAJIB | Salah satu akaun AmBank milik bekas perdana menteri Najib Razak menerima hampir RM50 juta antara Jun dan Disember 2014, kata pengurus Unit Pemindahan Wang Rentas Wedani Senen.

Saksi perbicaraan Najib Razak berkaitan dana RM42 juta SRC International itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata akaun peribadi dengan nombor berakhir 880 menerima RM49.92 juta daripada dua syarikat, iaitu Blackrock Commodities (Global) Limited dan Vista Equity International Partners.

Wang itu dipindahkan melalui transaksi sebanyak enam kali dalam tempoh itu, katanya lagi.

Wedani berkata, RM4.093 juta dipindahkan ke akaun 880 pada 23 Jun 2014. Jumlah itu berdasarkan tukaran mata wang daripada £750,000 yang dipindahkan Blackrock Commodities empat hari sebelumnya.

Katanya, tempoh empat hari diambil kerana beberapa proses perlu diambil oleh pihak bank untuk pemindahan mata wang asing.

Untuk rekod, berdasarkan dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), kedua-dua Blackrock Commodities dan Vista Equity dimiliki individu bernama 'Eric Tan'. Nama itu dikenal pasti sebagai alias untuk seorang sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Walaupun nama yang sama, DOH berkata Blackrock Commodities (Global) Limited tiada kaitan dengan syarikat pengurusan pelaburan global, BlackRock Inc.

Lima lagi transaksi melibatkan baki RM45.83 juta ke akaun Najib daripada Vista Equity pada 21 Oktober, 24 November, 26 November, 10 Disember and 19 Disember 2014.

'Hanya 2 transaksi nyata tujuan'

Ketika pemeriksaan semula oleh DPP V Sithambaran kemudian, Wedani berkata empat transaksi pertama tidak menyatakan tujuan wang dipindahkan.

Katanya, hanya dua transaksi menyatakan tujuan sebagai 'pinjaman' dan 'perjanjian pinjaman'. Ia melibatkan wang daripada Vista Equity berjumlah RM12.1 juta.

Sithambaram: Halaman 9, maklumat pengiriman, apa yang dinyatakan?

Wedani: Pinjaman.

Sithambaram: Halaman 10, bayaran apa yang diperincikan di situ?

Wedani: Pinjaman.

Sithambaram: Rujuk halaman 11, pengiriman, apa tujuan (yang dinyatakan)?

Wedani: Perjanjian pinjaman.

Sithambaram: Rujuk halaman 12, apa tujuan?

Wedani: Perjanjian pinjaman.

Sithambaram: Dalam empat dokumen pertama, ada dinyatakan di mana-mana bayaran untuk hadiah atau sumbangan?

Wedani: Tidak.

Untuk rekod, halaman 9 dan 10 yang dirujuk Sithambaran ialah halaman dokumen transaksi bertarikh 10 Disember 2014, berkenaan pemindahan berjumlah RM5,360,065.00 oleh Vista Equiti kepada akaun 880.

Halaman 11 dan 12 pula merujuk transaksi pada 19 Disember di mana syarikat itu memindahkan RM6,809,129.43 kepada akaun sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS