Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Sabah mohon ROS mahu tubuh 501 cawangan
Diterbitkan:  Jul 13, 2019 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah akan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan 501 cawangan parti itu di seluruh Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah, Hajiji Noor berkata permohonon kepada ROS itu akan dibuat dalam tempoh satu minggu dari sekarang dan dengan jumlah permohonan itu hanya satu cawangan di setiap daerah mengundi.

"Sungguhpun kita mendapat respon luar biasa melalui permohonan pelbagai pihak untuk menaja cawangan, namun pertimbangan perlu dibuat berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan parti yang menetapkan penubuhan cawangan mengikut daerah mengundi," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas BPN Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, tujuan mesyuarat khas berkenaan adalah untuk melengkapkan struktur organisasi kepimpinan BPN Bersatu Sabah dengan membuat pengisian jawatan exco, pengerusi biro dan pengarah tugasan khas.

"Antara jawatan yang diisi adalah Ketua BPN Bersatu Sabah iaitu saya sendiri dan timbalan Masidi Manjun, Ketua Srikandi (Azizah Mohd Dun, Ketua Armada (Mohd Isquzawan Israq Arsit), Setiausaha (Ronald Kiandee), Bendahari Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Penerangan Khairul Firdaus Akbar Khan," katanya.

Dengan pelantikan dan pengisian jawatan berkenaan, langkah pertama yang akan diambil oleh parti itu adalah untuk memperkukuhkan pentadbiran parti dengan melengkapkan struktur organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.

"Kita juga memfokuskan untuk menggerakkan jentera parti di semua peringkat untuk berfungsi sebagai mekanisme sokongan dalam pelaksanaan dasar dan program Kerajaan Persekutuan dan negeri, khususnya yang menyentuh kepentingan kaum peribumi dan rakyat secara keseluruhannya.

"Oleh itu kepimpinan BPN Bersatu Sabah telah membuat ketepatan untuk menganjurkan siri jelajah ke setiap bahagian untuk berinteraksi dan menyampaikan mesej berkenaan kepada kepimpinan parti di akar umbi," katanya.

Hajiji berkata, pendekatan berkenaan juga bermatlamat untuk membuka ruang kepada masyarakat memahami agenda perjuangan Bersatu dan seterusnya menggalakkan lebih ramai warga Sabah menyertai Bersatu sebagai sebuah wadah politik baharu di Sabah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS