Sejumlah banduan di Penjara Sungai Buloh didakwa memboikot makanan penjara bagi membantah apa yang menurut mereka sebagai diskriminasi kaum berkenaan penggunaan air.
Seorang keluarga banduan memberitahu Malaysiakini bahawa ia dibuat sejak tigak hari lalu.
"Suami saya boikot sebab tak puas hati dengan sikap rasis pegawai di Sungai Buloh. Mereka (banduan lain) tidak puas hati dengan sikap rasis terutama dua orang pegawai," katanya yang meminta namanya tidak didedahkan.
Dia mendakwa pegawai tersebut memaki-hamun dan menggunakan kata-kata kesat kepada mereka dan akan dipukul jika membalasnya.
Seorang lagi sumber memaklumkan kejadian terbaru ialah apabila ada pegawai yang tidak memberikan bekalan air kepada banduan daripada kaum India.
"Mereka tidak puas hati dengan sikap pegawai itu mula mogok lapar sejak Rabu lalu," katanya lagi.
'Tolak makanan, tapi bukan mogok'
Ketika dihubungi, Pengarah Penjara Sungai Buloh Rosoman Abu Bakar mengakui ada sejumlah banduan India yang tidak puas hari kerana tidak mendapat bekalan air akibat catuan.
"Kami ada masalah air. Waktu pagi dan malam okey, tetapi sebelah petang kurang tekanan air.
"Semalam, kami memberikan air untuk banduan Muslim di sebelah petang untuk tujuan sembahyang.
"Ada banduan India yang tidak puas hati kerana mereka tak dapat air dan boikot makan malam yang diberi pihak penjara," katanya lagi, dan memaklumkan kira-kira 20 banduan yang berbuat demikian.
Katanya lagi, tiada mogok lapar tidak berlaku kerana banduan boleh membeli makanan sendiri menerusi kupon yang dibayar pelawat.
"Hari ini situasinya kembali pulih. Saya boleh pastikan mereka tidak ambil makanan malam pada malam tadi, tapi tidak ada mogok lapar."
Katanya, banduan yang ingin membuat mogok lapar perlu mengisi borang kepada pihak penjara tetapi pihaknya tidak menerima sebarang borang untuk itu.