Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penerangan ubat perancang kehamilan sudah dibuat, kata menteri
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Semua wanita termasuk dari kalangan Orang Asli diberi penerangan berhubung ubat perancang kehamilan yang diberikan melalui program perancang keluarga, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly membuat kenyataan itu sebagai respons kepada kritikan susulan dakwaan yang mengatakan wanita Orang Asli dipaksa mengambil ubat perancang kelahiran - dalam bentuk pil atau suntikan.

"Program ini dikendalikan atas nasihat dan bimbingan pakar-pakar perubatan serta mengikut kriteria dan guidelines (garis panduan) yang ditetapkan oleh WHO (Organisasi Kesihatan Dunia)," katanya melalui Twitter.

Kenyataan itu turut disertakan dengan lampiran kenyataan penerangan berhubung berkenaan.

Dalam kenyataan yang dilampirkan, program berkenaan dikatakan ditawarkan untuk semua wanita, bukan hanya dari kalangan Orang Asli.

"Perkhidmatan Perancang Keluarga adalah bertujuan untuk menjarakkan kelahiran bagi memberi peluang ibu kembali sihat bersedia untuk mengandung seterusnya selain dapat menumpukan tumbesaran serta perkembangan anak baru lahir dengan sebaiknya," kata kenyataan itu.

"Jarak mengandung yang rapat serta kerap meningkatkan risiko ibu kepada masalah kekurangan Heamoglobin (anemia) yang memberi kesan negarif kepada ibu dan bayi yang bakal lahir," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa peratus anemia dalam kalangan wanita Orang Asli dalam tempoh 36 minggu kehamilan di Hulu Perak dalah 24.2 peratus, iaitu empat kali ganda berbanding data kebangsaan, iaitu 6.4 peratus pada 2018.

"Pengambilan perancang keluarga yang efektif disarankan adalah selama dua tahun. Setelah itu, seorang wanita boleh berhenti (mengambil ubat) bagi meneruskan hasratnya untuk mengandung atau terus mengamalkan perancang keluarga.

"Penerangan dibuat kepada wanita-wanita ini kerana langkah ini diperlukan untuk menjaga kesihatan dan kebajikan mereka dan keluarga mereka," kata Dzulkefly

Sebelum ini, timbul dakwaan yang mengatakan wanita Temiar di Kelantan dan Perak dipaksa mengambil ubat perancang kelahiran oleh jururawat dari klinik bergerak Kementerian Kesihatan.

Dakwaan itu turut mengatakan bahawa wanita Orang Asli berkenaan diugut termasuk dengan ancaman kad kesihatan mereka dibatalkan.

Kementerian Kesihatan semalam menegaskan bahawa ubat berkenaan diberi atas rasa tanggungjawab untuk mengelakkan Orang Asli menghadapi komplikasi akibat anemia ketika mengandung.

Dzulkefly juga enggan menyiasat dakwaan itu dengan lebih lanjut dan menyifatkan ia sebagai "tidak masuk akal" serta menggesa pihak yang membuat dakwaan mengemukakan bukti.

Kenyataan Dzulkefly itu dilihat bercanggah dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy yang menyatakan bahawa sebuah panel akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Waythamoorthy hari ini bertegas bahawa dia akan terus menggesa agar dakwaan itu disiasat dan akan berjumpa Dzulkefly untuk berbincang mengenainya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS