Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari membenarkan permohonan Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman membatalkan saman dikemukakan dua wakil rakyat DAP berhubung dakwaan parti itu cuba menghapuskan sistem beraja di negara ini.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Tahar.
Saman berkenaan difailkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua.
Peguam kepada dua wakil rakyat DAP itu, Farhan Haziq Mohamed memaklumkan pembatalan saman itu dibuat tanpa dikenakan sebarang kos.
Farhan memberitahu Malaysiakini, mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan defendan tidak menerbitkan kenyataan berbaur fitnah.
"Mahkamah membatalkan saman berkenaan tanpa mengenakan sebarang kos (untuk dibayar kepada Tajuddin)
"Bagaimanapun, kami masih boleh mengemukakan rayuan ataupun memfailkan permohonan baru, kami mempunyai masa untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Loke dan Pua memfailkan saman terhadap anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu melalui firma guaman Tetuan Ezzah & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.
Kedua-dua pemimpin DAP itu menyaman Tajuddin berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum pilihan raya kecil parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.
Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,842 undi, menewaskan calon BN, Lokman Noor Adam dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan pada 4 Ogos 2018.
Loke dan Pua berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka merupakan penganut Kristian dan bersama-sama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.
Tajuddin juga didakwa mengatakan kedua-dua MP DAP itu berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.
Selain itu Tajuddin dalam ucapannya juga didakwa mengatakan mereka mahu mendirikan sebuah negara republik.
Kenyataan defendan disiarkan oleh Malaysiakini bertajuk ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign’ yang dimuat naik oleh portal berita itu pada malam yang sama dia berucap.
Dalam kenyataan tuntutan mereka, Loke dan Pua menafikan mereka ialah mubaligh Kristian dan berkata kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan ahli parlimen, malah sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk mengangkat agenda politik peribadi.
Bagaimanapun, Tajuddin tidak hadir pada sesi prosiding hari ini dan hanya diwakili penguamnya, Hasnal Rezuan Merican.