Kurang dari 12 jam selepas membuat pusingan U untuk menerima pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun, kerajaan Johor mengumumkan untuk mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.
Exco Johor Sheikh Umar Baghrib Ali dalam kenyataan medianya malam ini berkata, keputusan terbaru itu dibuat selepas "perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak".
"Selepas perbincangan lanjut dan atas nasihat beberapa pihak, kerajaan negeri akan memperhalusi semula implikasi berkaitan pindaan rang undang-undang Akta Pertubuhan Belia Dan Pembangunan Belia 2007 Akta 668 yang telah diumumkan.
"Justeru, kerajaan negeri mengekalkan semula had umur belia di negeri ini kepada 40 tahun seperti yang diumumkan terdahulu oleh Menteri Besar Johor semalam sehinggalah akta ini diwartakan pada 2021 nanti," katanya.
Jelas pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor itu, ia bertujuan untuk memastikan tempoh masa persediaan yang mencukupi agar ia dapat dibuat dengan lebih teliti dan berhati-hati.
"Dalam menuju ke arah pewartaan RUU 668 tersebut pada 2021, kerajaan negeri akan terus mengkaji bagi mengenal pasti kesesuaian perlaksanaan ini di negeri Johor.
"Tempoh persediaan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi yang panjang dan penuh berliku yang harus dihadapi oleh semua pihak," katanya.
Semalam, melalui kenyataan pejabat menteri besar, kerajaan Johor mengumumkan untuk mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terdahulunya awal hari ini, Sheikh Omar berkata selepas mesyuarat exco yang bersidang pagi tadi, kerajaan negeri menerima baik pindaan umur belia 15-30 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu.
Dengan kenyataan terbaru malam ini, Johor merupakan negeri ketiga, selain Selangor dan Sarawak yang mengekalkan umur 40 sebagai umur maksimum golongan yang digelar belia.
Minggu lalu Dewan Rakyat meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ dengan menurunkan had umur maksimum golongan itu daripada 40 tahun kepada 30 tahun.