Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Rozaimi Ramle 'memuji' wakil-wakil rakyat PAS yang dilihatnya berminat dengan istilah kajian hadis.
Membuat hantaran di media sosial Rozaimi bagaimanapun menyertakan pujian itu dengan sedikit nasihat.
Kata ahli akademik yang banyak berceramah mengenai ilmu hadis itu, wakil-wakil rakyat PAS berkenaan wajar mentelaah kitab-kitab asas ilmu hadis.
Pada masa sama, katanya, mereka perlu mentelaah juga kitab-kitab politik Islam supaya tidak berlaku kesilapan semasa menyatakan pandangan.
"Rasa minat sebahagian YB-YB (yang berhormat) PAS pada istilah hadis itu saya puji, cuma saya nasihatkan kepada YB PAS agar telaahlah kitab-kitab asas ilmu hadis di samping kitab-kitab politik Islam agar istilah yang digunakan itu tepat," katanya.
Terdahulu Rozaimi mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang memberi reaksi kepada kisah diceritakan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam.
Dalam hantaran tersebut - diberi tajuk Cerita Sang Mufti Dari Sudut Dirayah dan Riwayah - Ahmad Fadhli mempersoalkan kesahihan nulikan Mohd Asri.
"Jika dinilai dari sudut riwayah, cerita tersebut merupakan kisah munqati'. Mufti tidak menamakan siapa 'lelaki' tu, dan lelaki itu juga hanya bercerita kepada sang mufti.
"Bagaimana mahu diterima kisah itu sebagai sahih? Siapa lelaki itu? Jika benar pun lelaki itu bercerita kepada mufti, bagaimana mufti memastikan cerita itu benar?" soalnya.
Semalam Malaysiakini melaporkan Mohd Asri terkenang kembali mengenai kesan kemelut politik di antara PAS dan Umno yang memberi kesan mendalam termasuk di Terengganu.
Dalam nukilannya Mohd Asri berkata, pada awal minggu ini beliau dikunjungi seorang ustaz dari negeri di Pantai Timur itu.
Beliau kemudian menceritakan bagaimana ada lelaki melakukan akad nikah sekali lagi walaupun sudah bergelar suami, gara-gara jurunikah terbabit berlainan fahaman politik.
Penggunaan istilah munqati' Ahmad Fadhli itu kemudian menarik perhatian Rozaimi.
Kata Rozaimi, timbalan ketua Pemuda PAS itu tidak sepatutnya menggunakan mubham untuk menggantikan munqati' itu.
Baca Tokoh jahil punca kafir-mengkafir, PAS hadir redakan
"Setelah saya melihat tulisan sebenar mufti Perlis. Jika benar YB PAS itu mahu kritik pun, ia bukanlah dengan istilah munqati' (terputus sanad) kerana sanad tersebut tidak putus disebabkan mufti tersebut bertemu sendiri dengan pencerita, dan pencerita bercerita tentang abangnya.
"Jika benar nak dikritik, kritiklah dengan istilah mubham. Ini istilah yang betul kerana mufti tidak menyebut nama pencerita tersebut, dan ini dinyatakan sendiri oleh YB PAS itu dalam kenyataannya," kata Rozaimi.
Rozaimi juga berkata, isu kafir-mengkafirkan orang yang berlainan fahaman politik memang ada, malah beliau sendiri pernah bertemu seseorang yang mengkafirkan seteru politiknya.
"Jika nak dikatakan ia mutawatir maknawi pun, tidaklah begitu jauh kebenarannya," katanya.